KUALA LUMPUR - Sekalipun kurang meminati bola sepak, pelakon dan
pengacara terkenal tanah air, Noor Neelofa Mohd. Noor (gambar) tetap
mengharapkan buah tangan istimewa dibawa pulang Red Warriors apabila
menentang Pahang dalam final Piala Malaysia, Ahad ini.
Malah, artis jelita itu mengharapkan Kelantan akan menang besar 3-0,
sekali gus menjulang Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.
Kalau hendak minta saya mengulas mengenai pasukan Kelantan atau perlawanan, saya bukan orang yang sesuai.
Tetapi jika ditanya tentang harapan saya, sudah tentu sebagai anak
jati Kelantan, saya mahu kemenangan berpihak kepada Red Warriors.
Malah, saya harap Kelantan berkemampuan tumpaskan Pahang 3-0 di
Stadium Shah Alam nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, di sebalik keghairahan peminat tegar bola sepak
menanti perlawanan akhir hujung minggu ini, anak jati Pasir Mas,
Kelantan itu amat mengharapkan pertemuan membabitkan dua pasukan dari
pantai timur itu dapat berlangsung dalam suasana aman.
Jelas pelakon berusia 24 tahun itu lagi, sikap terlalu menurut
perasaan hanya akan merosakkan semangat kesukanan yang seharusnya ada
dalam diri setiap pemain dan juga penyokong.
Saya harap penyokong kedua-dua pasukan, terutama penyokong Kelantan
dapat menjaga perlakuan masing-masing agar tidak tercetus perkara yang
tidak diingini.
Sebagai anak Kelantan saya juga tak mahu lagi dengar penyokong Red
Warriors dianggap samseng dan sebagainya hanya semata-mata kerana
insiden yang pernah berlaku sebelum ini," ujarnya.
Neelofa turut berharap penyokong kedua-dua pasukan tidak saling
melakukan provokasi kerana perbuatan tersebut hanya akan mencetuskan
pergaduhan jika gagal dibendung.
--- UTUSAN MALAYSIA