29/01/2011 11:18pm
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan memberikan
amaran awal dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah 2011 setelah
menumpaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan sumbangsih dalam meneruskan
saingan Liga Super musim ini.
Sepakan penalti penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan
bebas ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi pada setiap babak permainan,
turut memastikan tiga mata sulung liga buat Wira Merah di Stadium Shah
Alam.
Juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri
Sembilan pula mengorak langkah kanan dalam Liga Super 2011 dengan
menumpaskan Harimau Muda A 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,
Seremban.
Tiga mata turut digenggam satu lagi tuan rumah, Pahang selepas
menumpaskan Perlis 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan
Saiful Nizam minit ke-14, sepakan penalti R. Surendren (42) dan Mohd.
Alafi Mahmud (73).
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, tuan rumah terlepas tiga mata
apabila diikat Perak 1-1 biarpun mendahului menerusi Mohd. Badrul Hisyam
Azmi pada minit ke-12 sebelum disamakan oleh Shafiq Jamal, minit ke-66.
Tiga keputusan seri tanpa jaringan pula tercatat dalam perlawanan
Terengganu-Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu; Johor FC-Felda United di Stadium JCorp, Pasir Gudang dan
Kedah-T-Team di Stadium Darulaman, Alor Setar. - Utusan
Keputusan
Selangor 0 Kelantan 2
Terengganu 0 SABAH 0
Kuala Lumpur 1 Perak 1
Johor FC 0 Felda United 0
Kedah 0 T-Team 0
Negeri Sembilan 1 Harimau Muda A 0
Pahang 3 Perlis 1