KOTA BHARU - Sentuhan memukau yang ditampilkan oleh penyerang muda The Red Warriors,
Muhammad Ramzul Zahini Adenan dengan meledak dua gol ketika membantu
pasukannya menumbangkan Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama Piala FA
di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu memberikan petanda bahawa dia sudah
bersedia untuk kembali menggalas tugas selaku penggempur utama.
Turun selaku pemain utama pada perlawanan itu, anak kelahiran Kampung
Kangkong, Pasir Mas itu, ternyata pantas menyambar peluang yang
diberikan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu dengan
mempamerkan sentuhan berbisa menyebabkan skuad bimbingan K. Daven
bagaikan dipukau aksi mantap The Red Warriors.
Muhammad Ramzul berkata, dia semakin bersemangat untuk kembali
merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang aksi separuh
akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.
Beliau berkata, dua gol yang dijaringkan pada perlawanan itu amat
bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius ketika
bertemu Negeri Sembilan awal Mac lalu.
"Ini merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini.
Saya berterima kepada ketua jurulatih kerana memberikan peluang kepada
saya untuk kembali ke dalam pasukan selepas aksi dengan Kuala Lumpur 30
April lalu.
"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum ini, ia
sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat
dalam pasukan. Alhamdulillah saya berjaya kembali dan menjaringkan gol
semangat buat pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambahnya, dua jaringan di Stadium Shah Alam tempoh hari adalah hasil
bantuan rakan-rakan yang banyak membuka peluang kepadanya untuk
membuktikan ketajaman penyudah.
Bekas bintang Piala Presiden Kelantan musim 2006 itu memberitahu,
keyakinannya bertambah selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan
tersebut yang turut melonjakkan semula moralnya untuk terus mempamerkan
aksi terbaik.
"Sekiranya terus diberikan peluang untuk perlawanan malam esok (ini),
saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas
itu dan cuba membantu pasukan layak ke pentas akhir buat kali kedua
seterusnya membawa kejuaraan Piala FA ke Kota Bharu.
"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan
alasan. Apa yang penting saya kena terus berusaha dan belajar dari
mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa terutama
daripada rakan sepasukan Norshahrul Idlan Talaha," ujarnya.
--- UTUSAN MALAYSIA