Wednesday, October 17, 2012

Semangat tinggi julang Kelantan

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
sukan@hmetro.com.my

PENJAGA gawang, Khairul Fahmi Che Mat tidak mengharapkan tuah untuk Kelantan muncul juara pada perlawanan akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Jika pemain ATM, Hairuddin Omar dikatakan membawa tuah kepada pasukannya apabila pemain itu berjaya menjulang Piala Malaysia bersama dua pasukan berbeza untuk tiga tahun berturut-turut, Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek lebih mengharapkan usaha keras ketika beraksi di atas padang.

Hairuddin yang pernah membantu Red Warrior menjuarai Piala Malaysia pada 2010 selain menjulang piala berprestij itu bersama Negeri Sembilan pada 2009 dan 2011 nyata bukan satu ancaman buat penjaga gawang gergasi Pantai Timur.
Apek berkata, Kelantan tidak boleh mengharapkan tuah semata-mata sebaliknya perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan selain tidak menafikan kehebatan Hairuddin yang menjadi tonggak utama ATM.

Katanya, kejayaan sebelum mara ke final juga bukan kerana tuah malah sumbangan tenaga berpasukan membuatkan skuad Kijang menjadi antara pasukan digeruni dalam liga tempatan. “Saya tidak meletakkan kejayaan pasukan pada tuah seseorang pemain tapi semangat berpasukan dan kerja keras selama ini yang membawa kami ke peringkat lebih tinggi “Bagaimanapun saya tetap menghormati ATM sebagai lawan kami di perlawanan akhir dan bertekad memberikan aksi terbaik dalam misi membantu pasukan muncul juara,” katanya.

Rekod pertemuan kumpulan menyebelahi Kelantan apabila seri 1-1 aksi pertama saingan sebelum menang 4-3 dalam pusingan kedua namun juara sebenar akan ditentukan di final.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17 

--- HARIAN METRO