Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
PEMAIN tengah Kelantan, Mohd Shakir Shaari (gambar) mahu merendah
diri apabila bertemu Selangor pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di
Stadium Shah Alam, malam esok, walaupun The Red Warriors (TRW) tampil
selaku pasukan pilihan.
Katanya, meskipun dua tahun lalu rekod kemenangan sentiasa menyebelahi TRW, Selangor masih dianggap berbahaya.
Katanya, reputasi Kelantan tidak menjamin laluan mudah ke final.
“Rekod adalah perkara lalu dan sekarang banyak pasukan mengalami
perubahan. Kami tidak angkuh dengan kemenangan lalu malah saya lebih
selesa beraksi dengan perasaan rendah diri selain tekad mempamerkan
corak permainan berkualiti.
“Kami perlu main seperti biasa dan tiada apa perlu dibanggakan. Yang penting kami perlu bekerja keras dan melaksanakan arahan jurulatih,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Azman Ibrahim memberi khabar gembira buat penyokong Kelantan apabila memaklumkan, Mohd Badri Radzi sudah pulih daripada sakit mata dan akan diturunkan berdepan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.
Katanya, kehadiran Mohd Badri atau Piya akan mengukuhkan barisan
tengah selain membantu menajamkan jentera serangan bagi merobek gawang
Selangor.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10
--- HARIAN METRO