Sunday, December 2, 2012

Milik siapa jersi nombor 9

Wartawan Sinar Harian
1 Disember 2012 

Aksi Shakir ketika menentang ATM.
Aksi Shakir ketika menentang ATM.
 
Milik siapa jersi nombor 9
.
JERSI nombor sembilan milik siapa, itulah persoalan bermain difikiran penyokong TRW selepas pemiliknya Norshahrul Idhlan Talaha sah meninggalkan Kelantan menyertai Johor musim 2013.

Penyerang Negeri Sembilan Ahmad Shakir Ali antara yang dikaitkan bakal bersama Kelantan dan menyarung jersi nombor sembilan.

Walaupun Kelantan dilihat tidak mempunyai masalah kerana ramai pemain sedia ada mampu mengalas tanggungjawab tersebut namun kelibat pemain jersi nombor sembilan tetap diperlukan.


UMUM

Melihat senarai 25 pemain Kelantan 2013 diumumkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa 20 November lalu, pemilik jersi nombor sembilan masih belum diperkenalkan kepada peminat namun beberapa bayangan telah dinyatakan Annuar dengan menyatakan pemain berkenaan menjaringkan 11 gol pada 2012 dan pernah beraksi bersama skuad kebangsaan.

"Apa yang boleh saya katakan pemain tempatan yang bakal menyarung jersi nombor sembilan ialah tahap persembahannya setanding dengan Mat Yo atau lebih lagi.

"Pemain ini juga menjaringkan 11 gol musim 2012 dan percaya kehadirannya akan memantapkan jentera serangan serta peningkatan persembahan dalam pasukan," ujar Annuar melalui laman Facebook miliknya.


PANTAS

Berusia 23 tahun dan masih belum berumahtangga, Shakir mempunyai fizikal sempurna dari segi ketinggian dan larian pantas serta sepakan kencang yang menjadi senjata merobek pintu gawang lawan.

Jika dilihat kepada jumlah jaringan Ahmad Shakir musim 2012 iaitu 10 gol Liga Super dan satu gol dalam Piala Malaysia jelas memberi gambaran ada persamaan dengan bayangan oleh Presiden Kafa.

Shakir yang merupakan bekas penyerang Harimau Muda A dan Kedah adalah penyerang utama skuad Olimpik negara pada pusingan pertama kelayakan Olimpik menentang Pakistan, pada 23 Februari tahun lalu. Namun beliau disingkirkan selepas prestasinya merudum dan hanya memanaskan bangku simpanan Kedah sepanjang musim Liga Super yang lalu.


SINAR

Anak muda dari Jitra, Kedah ini sebenarnya bukanlah asing dikalangan peminat bola sepak kerana bakatnya mula dikesan diawal pembabitannya bersama Piala Presiden Kedah bermula 2004 hingga 2008.

Produk bolasepak Kedah ini telah menyinar sebagai pemain muda apabila kerap diberi peluang oleh jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah  sekitar tahun 2008 untuk membuktikan kemampuan beliau sebagai penjaring gol.

Hampir dua tahun bakatnya digilap bersama Harimau Muda A, beliau kembali semula ke pangkuan kedah pada 2011 sebelum melebarkan sayap ke Negeri Sembilan untuk bersama Mohd Azraai Khor yang kini membimbing Negeri Sembilan.


JELMA

Seandainya Shakir menjadi pilihan Kafa sudah tentu ia satu berita buruk buat pasukan lain kerana Kelantan boleh mempelbagaikan corak serangan didepan gawang gol.

Sebelum ini Kelantan gemar menjaringkan gol melalui sepakan namun kali ini mungkin faktor ketinggian ada pada Shakir mampu dijelmakan melalui tandukan.


SANGKAL

Desas-desus penyerang prolifik Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd Ali bakal berhijrah ke Kelantan musim depan hanyalah dongengan semata-mata apabila disangkal jurulatih, Divaldo Alves.

Jelasnya, kisah perpindahan Ahmad Shakir bersama TRW tidak benar dan seandainya benar, sudah tentu dia mengetahuinya dari awal.

“Dia merupakan pemain penting dalam perancangan kita menghadapi musim baru yang akan bermula tidak lama lagi. Tambahan pula, kontraknya bersama kita masih panjang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


PROFIL

Nama Penuh : Ahmad Shakir Mohd Ali

Tarikh lahir: 9 Januari 1989

Umur: 23 tahun

Tempat lahir: Jitra, Kedah

Ketinggian : 1.80 meter (5 kaki 11 inci)

Posisi: Penyerang

Karier:

Piala Presiden Kedah (2004-2008)

Harimau Muda A (2008-2010)

Kedah (2010-2011)

Negeri Sembilan (2012)

Karier Kebangsaan

Pasukan Kebangsaan (2007-2009)

Malaysia Bawah-21 dan 23 (2009)

Harimau Malaya (2012)


--- SINAR HARIAN