Wednesday, April 10, 2013

Kelantan rehat tonggak utama

BADHRI (kiri) antara pemain yang akan direhatkan Kelantan pada aksi menentang SHB Da Nang FC di Stadium Chi Liang, Vietnam petang ini.


WAKIL negara, Kelantan bakal merehatkan beberapa tonggak utamanya pada aksi Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertemu SHB Da Nang FC di Stadium Chi Liang, Vietnam petang ini.

Antara tonggak yang direhatkan pada pertemuan tersebut ialah kapten pasukan Mohd. Badhri Radzi, Mohd. Shakir Shaari dan Mohd. Daudsu Jamaluddin manakala Muhammad Zamri Ramli dan Mohd. Faiz Subri terpaksa diketepikan kerana demam.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, keputusan merehatkan beberapa tonggak utama itu terpaksa dibuat bagi mengharungi perlawanan penting selepas ini.

“Kami bakal berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Sabtu ini sekembali dari Vietnam yang menyaksikan pemain terpaksa mengharungi perjalanan jauh.

“Pertemuan dengan ATM pasti sengit dan kami tidak mahu ia mengganggu fokus pada saingan liga. Selepas itu, kami akan beraksi dalam Piala FA bertemu Sarawak pada 16 April ini,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu kelmarin.

Mengulas mengenai pertemuan dengan wakil Vietnam itu, Azman menjangkakan Kelantan bakal berdepan laluan sukar pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, tuan rumah pasti akan beraksi habis-habisan bagi menebus aib tewas 0-5 pada aksi di Kota Bharu sebelum ini selain mencerahkan peluang mara ke pusingan kedua nanti.

“Bagaimanapun, saya optimis barisan pemain yang bakal diturunkan pada pertemuan itu mampu melakukan sesuatu sekurang-kurang mencuri satu mata di Vietnam.

“Selepas meraih tujuh mata ketika saingan berbaki dua perlawanan, Kelantan mampu layak ke pusingan seterusnya,” ujarnya.

Pada perkembangan lain, Azman memberitahu, kesemua tonggak importnya akan di bawa ke Vietnam bagi memperkuatkan pasukan pada pertemuan tersebut. 

Gandingan dua penggempur berbisanya, Dickson Nwakaemi dan Dimitrios Petratos pasti ditagih untuk merencanakan jentera serangan bagi memastikan tiga mata menjadi milik skuad The Red Warriors.

--- KOSMO