Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex
 
ANAK pertama yang bakal dilahirkan nanti nyata membawa tuah kepada Kelantan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dengan menumbangkan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, kata penjaga gol utamanya, Mohd Khairul Fahmi Che Mat.

Beliau berkata kehadiran permata sulung itu nanti memberikannya semangat untuk terus bekerja keras dalam setiap perlawanan yang disertainya.

"Alhamduliilah kita berjaya mempertahankan kejuaraan tahun ini. Mungkin ini tuah buat kami sekeluarga, terutamanya untuk isteri yang kini mengandung.

“Apa pun saya bersyukur kerana kerja keras yang dilakukan semua pemain membuahkan hasil sekali gus menggembirakan peminat yang membanjiri stadium malam tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi atau Apex turut memuji barisan pertahanan Kelantan yang banyak mematahkan serangan JDT ketika cuba menjaringkan gol.

“Saya gembira melihat prestasi semua pemain yang begitu bersemangat untuk mencipta kemenangan terutamanya barisan pertahanan yang begitu kemas dan komunikasi yang bagus setiap masa sehinggalah lawan gagal mencipta peluang melakukan gerakan.

“Kejayaan mereka (benteng) menjalankan tugas secara tidak langsung meringankan beban saya selaku benteng terakhir namun sejujurnya kerjasama semua pemain adalah punca kemenangan kami,” ujarnya yang menganggap kemenangan itu sangat bermakna buat Kelantan lebih-lebih lagi ini adalah kejuaraan pertama kami musim ini.

"Selepas Mohd Norfarhan menjaringkan gol saya lihat keyakinan rakan sepasukan semakin meningkat terutamanya di bahagian tengah dan benteng yang bijak mengatur serangan selain mematahkan gerakan lawan.

“Semua pemain telah menjalankan tugas dengan cukup sempurna dan kejayaan Piala FA ini milik semua,” katanya.

--- SINAR HARIAN