Showing posts with label Darul Takzim FC (Johor FC). Show all posts
Showing posts with label Darul Takzim FC (Johor FC). Show all posts

Friday, October 4, 2013

Indra yakin Kelantan ke final


Pemain sayap Kelantan, Indra Putra (kanan) optimis pasukannya mampu menundukkan JDT pada aksi timbal balas di Kota Bharu, Sabtu ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
TIDAK kiralah apa pun pandangan di kem Johor Darul Takzim (JDT), namun hakikatnya, Penolong Ketua Pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin juga turut yakin pasukannya mampu melangkah ke separuh akhir, kempen Piala Malaysia musim ini.

Bukan bernada angkuh tetapi naluri bekas pemain kebangsaan itu cukup kuat mengatakan Kelantan mampu memadamkan kelebihan dua jaringan dimiliki skuad Harimau Selatan menjelang pertemuan sengit kedua-dua pasukan pada aksi timbal balas di Kota Bharu, Sabtu ini.

Indra Putra berkata, Kelantan mempunyai kelebihan beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV meskipun gelanggang keramat berusia 47 tahun itu tidak lagi kebal bagi pasukannya pada musim ini.

“Memang kami ketinggalan dua gol sekarang, tetapi saya percaya kami boleh bangkit dengan menewaskan JDT, Sabtu ini. Kami mempunyai pemain ke-12 (penyokong) yang mampu meruntuhkan semangat juang pemain lawan dengan sorakan padu mereka.
“Kekalahan 2-4 adalah satu peringatan kepada Kelantan supaya perlu berusaha lebih gigih dan fokus utama kami sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan ialah mendapatkan jaringan awal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Kelantan sepatutnya tidak pulang tangan kosong dari Larkin setelah mempamerkan kebangkitan dengan beraksi cemerlang pada babak kedua namun banyak peluang yang diperoleh barisan pemainnya gagal menghasilkan gol.

“Kalau dilihat, tak kurang lima peluang kami ada untuk menjaringkan gol namun gagal menepati sasaran. Mungkin bukan rezeki kami untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan itu,” katanya.

Indra Putra yang kini muncul selaku penjaring kedua terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Malaysia ketika ini dengan empat gol memberitahu, rakan sepasukannya terutama di benteng pertahanan perlu meminimumkan kesilapan jika tidak mahu usaha mempertahankan kejuaraan berakhir dengan kegagalan.

Malah pemain sayap berusia 32 tahun itu turut menggesa rakan sepasukannya melupakan kekalahan pada aksi suku akhir pertama, sebaliknya kembali fokus terhadap persiapan mereka bagi membalas dendam ke atas skuad kendalian Azmi Mohamed itu.

“Jangan terlampau rasa tertekan, kita kena bermain seperti biasa. Insya-ALLAH, jaringan itu akan datang dengan sendiri. Saya percaya jika semua pemain menunjukkan aksi terbaik, kita mampu mara ke separuh akhir,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Tuesday, July 9, 2013

Tiada perbincangan dengan Johor DT


Azman
Azman
 
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim menafikan khabar angin yang menyatakan kapten pasukan itu, Mohd Badri Radzi akan berhijrah ke pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), musim depan.

Ini kerana Azman yang juga pengurus pasukan Kelantan berkata, setakat ini tiada lagi tawaran atau perbincangan rasmi dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) terhadap pemain itu.

“Saya pun tak tahu khabar angin ini betul ke tidak, tapi setahu saya setakat ini tiada lagi perbincangan bersama dengan mana-mana pasukan lain.

“Lagipun, kontrak Piya (Badri) masih lagi berbaki enam bulan dan mengikut kontrak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mana-mana pasukan tidak boleh berbincang dengan pemain itu selagi tidak tamat kontrak.

“Dan perbincangan hanya boleh dilakukan selepas tamat kontrak dengan pasukan asal. Jadi saya tidak tahu itu khabar angin atau sebaliknya,” katanya semalam.

Semalam, khabar angin di laman Facebook mendakwa Johor DT sanggup menawarkan tawaran RM3 juta kepada Piya jika mahu bertukar angin ke pasukan Harimau Selatan itu musim depan.

Ketika ditanya kesahihan dakwaan itu, Azman bagaimanapun berkata: "Sekiranya Johor DT atau mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan pemain dari pasukan lain,  mereka harus mengikuti undang-undang yang ditetapkan oleh FAM.

“Tetapi setakat ini, saya ingin tegaskan tiada lagi tawaran itu seperti mana dilapor media sosial,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Piya nafi terima tawaran lumayan


Piya nafi terima tawaran lumayan
Piya (kiri) dalam radar pasukan Harimau Selatan.
 
KETUA Pasukan The Red Warriors, Mohd Badri Radzi nafi ada menerima ‘tawaran lumayan’ untuk beraksi dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Sebaliknya Mohd Badri atau dikenali Piya tampil menegaskan khabar angin tersebut karut semata-mata dan turut melahirkan kekecewaan di atas tindakan pihak tertentu menyebar berita tidak berasas itu.

“Tumpuan saya ketika ini ialah mahu membantu Kelantan mempertahankan Piala Malaysia. Saingan Liga-M pun tak habis lagi, jadi ini bukan masa yang sesuai untuk kita bercakap soal perpindahan pemain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Saya minta pihak berkenaan hentikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Saya ingin tegaskan, saya tidak pernah menerima tawaran sedemikian sama ada daripada Johor DT atau mana-mana pasukan lain sebagaimana tersebar di laman sosial.

Jeneral padang berusia 31 tahun itu turut memberitahu, beliau masih mempunyai kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan tetap setia beraksi bersama negeri kelahirannya.

Khabar angin tersebar luas dalam laman Facebook semalam mengatakan kapten berpengaruh Kelantan itu bakal menerima gaji RM100,000 sebulan selain kesediaan pasukan berkenaan membayar wang perpindahan RM3 juta kepada Kafa bagi mendapatkan khidmat beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohd Badri membayangkan beliau kemungkinan besar terlepas peluang kedua untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan bermula 11 Julai ini akibat kecederaan pangkal paha.

Menurutnya, kecederaan tersebut dialami sebelum perlawanan akhir Piala FA hujung bulan lalu dan situasi tersebut bertambah buruk dialami beliau ketika membantu Kelantan menewaskan Lions XII 2-0 tempoh hari.

“Ketika bertemu Perak, saya hanya diturunkan selaku pemain gantian dan sempat beraksi selama 30 minit. Namun saya ketepikan kesakitan tersebut apabila beraksi ketika Kelantan berdepan Lions XII semata-mata maruah negeri ini.

“Doktor menasihati saya berehat sekurang-kurangnya tempoh dua minggu. Apa boleh buat, memang saya terkilan kerana ini kali kedua saya tak dapat menyertai latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Saturday, July 6, 2013

Pemain TRW terima habuan RM30,000 seorang


Kelantan berjaya menjulang Piala FA musim ini pada perlawanan Sabtu lepas.
Kelantan berjaya menjulang Piala FA musim ini pada perlawanan Sabtu lepas. - Foto SAFWAN MANSOR
 
PEMAIN Kelantan yang berjaya mempertahankan trofi Piala FA musim ini akan menerima RM30,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa),”kata Presidennya, Tan Sri Annuar Musa.

“Setiap pemain yang beraksi di final dan berjaya mempertahankan Piala FA serta melayakkan Kelantan beraksi di Piala AFC musim depan akan dihadiahkan RM30,000 setiap orang.

“Semua pemain juga di beri cuti menyambut Ramadhan bersama keluarga dan akan kembali berlatih untuk Piala Malaysia selepas 10 hari berehat,” kata Annuar menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu, skuad kendalian Bojan Hodak menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 menerusi jaringan tunggal Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-16.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan skuad The Red Warriors (TRW) berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut selepas memenanginya musim lalu.

Dalam pada itu, Annuar turut memberitahu bahawa TRW terpaksa menangguhkan hasrat untuk meraikan kejuaraan buat seketika kerana kesuntukan masa.

“Disebabkan bakal menyambut bulan Ramadhan maka tiada perarakan Piala Fa dibuat untuk masa ini.

“Tetapi, Piala FA akan dipamerkan di Stadium malam ini,” jelas beliau.

Malam ini, Kelantan akan menentang Lions XII pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV.

--- SINAR HARIAN

Monday, July 1, 2013

Final Piala FA: Fandi silap strategi?


Nunez
Kemasukan Nunez (kiri) dilihat berjaya merubah tempo permainan JDT 
 
PERCUBAAN pertama Johor Darul Takzim (JDT) meraih trofi Piala FA menemui kegagalan apabila tunduk 0-1 kepada juara bertahan, Kelantan pada aksi final di Bukit Jalil, kelmarin.

Di sebalik kekalahan itu, ada suara sumbang mengaitkan ia berpunca daripada kesilapan taktikal Fandi pada separuh masa pertama.
Beliau mengeluarkan Safee Sali seawal minit ke-18 untuk digantikan dengan penyerang Argentina Lionel Nunez.

Ketika perlawanan menuju ke penghujung babak pertama, beliau mengeluarkan pula pemain tengah Andrezinho.

Malah, kehadiran Safiq Rahim dikatakan kurang memberi impak dan khidmatnya tidak diperlukan pada babak kedua.

Bagaimanapun, pada sidang media selepas perlawanan ditamatkan, Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim menjelaskan pertukaran tersebut dibuat kerana ketiga-tiga pemain itu mengalami kecederaan.

"Tidak dinafikan kehilangan tiga pemain tersebut (Safee dan Andre mengalami kecederaan pangkal paha, manakala Safiq kecederaan di buku lali) jelas telah melumpuhkan gerakan tengah.

"Dan itu telah diambil kesempatan oleh Kelantan untuk menguasai perlawanan," katanya.
 
--- SINAR HARIAN

Norfarhan: Bayangan jadi realiti


Norfarhan
Puas...Aksi Norfarhan (kanan) selepas menyumbat gol kemenangan Kelantan pada minit ke-16. Foto: Safwan Mansor
 
"KETIKA sesi memanaskan badan, saya sudah terbayang menjaringkan gol kemenangan buat pasukan Kelantan," kata penyerang The Red Warriors, Norfarhan Muhamad.

Menurut Farhan, keyakinannya melonjak tinggi sebaik melihat sokongan padu daripada penyokong TRW yang memenuhi segenap ruang Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

“Saya dapat rasakan bahawa malam ini (kelmarin), saya mampu menyumbat gol. Ternyata, apa yang saya bayangkan menjadi realiti," katanya.

Menurut Farhan lagi, kejayaan mengatasi Johor Darul Takzim (JDT) sedikit sebanyak mengubati kekecewaannya yang terlepas perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby, tahun lalu.

Pada masa sama, penyerang berusia 28 tahun itu menjelaskan kemenangan Kelantan kelmarin melayakkan mereka beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan dan ia sesuatu yang perlu dibanggakan pemain serta peminat.

“Kemenangan ini cukup bermakna selain mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut, Kelantan juga mengesahkan penyertaan dalam saingan Piala AFC untuk kali ketiga,” katanya.

Pada aksi final malam kelmarin, Farhan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 selepas mendapat umpanan cantik Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Harimau Selatan,  Muhammad Al-Hafiz Hamzah.

--- SINAR HARIAN

Farhan azam terus bantu Kelantan


Mohd Norfarhan Muhammad
Mohd Norfarhan Muhammad
 
GOL tunggal jaringannya ketika mencetuskan kemenangan Kelantan ke atas Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan final Piala FA Sabtu lalu membakar semangat penggempur Kelantan, Mohd Norfarhan berazam untuk terus membantu pasukan The Red Warriors (TRW) dalam perlawanan selepas ini terutama dalam baki saingan Liga Super.

Jauh daripada berasa puas hati, Farhan berharap akan dapat memainkan peranannya sekali lagi ketika pertemuan menentang Perak, Selasa ini di Stadium Ipoh.

“Jika ada rezeki, sudah tentu saya mahu menambah jumlah gol, tetapi apa yang penting ialah kemenangan Kelantan tanpa mengira siapa penjaring," kata Farhan.

Kelmarin, Farhan muncul wira skuad TWR apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu ketika menewaskan JDT 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejayaan Kelantan itu membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi tahun lalu manakala bagi pasukan JDT, kegagalan itu telah menangguhkan hasrat mereka untuk mencatat kejuaraan buat pertama kali dalam kejohanan kalah mati itu.

Mengulas lanjut, Farhan berkata, beliau berasa puas kerana akhirnya dapat membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatihnya, Bojan Hodak.

"Saya sangat gembira serta berbangga kerana menjadi sebahagian dalam sejarah gemilang pasukan Kelantan dan saya anggap kejayaan ini hasil usaha keras semua pihak yang terlibat dalam membangunkan bola sepak Kelantan.

"Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol, namun apa yang paling penting bagi saya adalah dapat bermain dalam perlawanan akhir ini.

"Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil permainan berpasukan dan kerjasama semua pihak," ujarnya lagi.

--- SINAR HARIAN

Sunday, June 30, 2013

Najib Ucap Tahniah Kelantan Pertahan Piala FA


KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan kerana sekali lagi menjulang piala FA.

"Tahniah The Red Warriors kerana sekali lagi berjaya membawa pulang piala FA. Sukan menyatukan rakyat," katanya dalam tweet terbaharu beliau hari ini.

Pasukan Kelantan berjaya mempertahankan Piala FA 2013 selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

-- BERNAMA

Hodak Puji Pemain Kerana Aksi Cemerlang


KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak memuji anak buahnya atas persembahan cemerlang untuk membenam Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 bagi mengekalkan Piala FA 2013 buat musim kedua berturut-turut.

Jaringan minit ke-14 oleh Mohd Norfarhan Muhammad sudah memadai untuk pasukan gerasi Pantai Timur itu mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka di venue sama tahun lepas.

"Semua pemain beraksi dengan cukup baik dan mencipta banyak peluang... pemain pertahanan Obinna Nwaneri bertindak cemerlang untuk menafikan barisan serangan Johor DT sebarang peluang," kata Hodak kepada pemberita selepas perlawanan itu Sabtu malam.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang menyifatkan kemenangan tersebut cukup bermakna selepas kehilangan khidmat beberapa pemain utama kepada pasukan lain pada musim ini.

"Memang sukar untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pemain baharu namun kita berjaya mengatasi masalah itu.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada penyokong kita yang memberikan sokongan padu pada perlawanan malam ini," katanya yang turut dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Sementara itu, penolong jurulatih Johor DT, Ismail Ibrahim menyifatkan kekalahan mereka berpunca daripada tiga pemain yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan pada awal separuh masa pertama.

Beliau berkata Mohd Safee Sali dan Andrezinho mengalami kecederaan pangkal paha manakala Safiq Rahim mengalami kecederaan di buku lali.

Menurutnya kehilangan tiga pemain tersebut telah melumpuhkan gerakan di bahagian tengah dan keadaan itu diambil kesempatan oleh Kelantan untuk menguasai perlawanan.

Ismail berkata faktor kemenangan pasukan Gergasi Pantai Timur itu lebih kepada sejarah penyertaan mereka yang banyak beraksi di pentas final manakala hanya dua pemainnya, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Nurul Azwan Roya pernah beraksi dalam final sebelum ini.

"Saya berharap ini akan menjadi pengalaman berguna untuk pemain khususnya pemain muda menghadapi baki perlawanan Liga Super selepas ini," katanya.

Johor DT dibimbing oleh legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, yang turut bertindak sebagai pengurus pasukan.

-- BERNAMA

Kemenangan bermakna buat TRW


Kemenangan bermakna buat TRW
Pasukan Kelantan meraikan kejayaan memenangi Piala FA 2013 selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1- 0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB 
 
"SAYA ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain kerana telah berusaha keras membawa pasukan Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini, kata kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi.

Beliau turut menyifatkan kemenangan semalam adalah satu detik yang bermakna kepada pasukan Kelantan setelah pasukannya itu gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super.

Skuad The Red Warriors (TRW) berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali kedua berturut-turut pada perlawanan final di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0.

Ini adalah aksi kali keempat Kelantan beraksi di pentas final selepas tahun 2009, 2011 dan 2012.

"Alhamdulillah, kita berjaya membawa pulang dan mengekalkan piala ke Kota Bharu, dan ini cukup menggembirakan kami.

"Memang sukar untuk kami menyesuaikan diri dengan corak permainan pemain baru sebenarnya namun kita berjaya mengatasi masalah itu.

"Pemain baru juga menunjukkan komitmen 100 peratus ketika turun beraksi dan bagi saya kemenangan ini cukup bermakna selepas kita kehilangan khidmat beberapa pemain utama yang berpindah ke pasukan lain pada musim ini," katanya.

Badhri atau Piya juga berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati malah bangga dengan mutu persembahan rakan sepasukannya yang menunjukkan semangat berjuang yang tinggi.

"Terima kasih kepada pemain kerana berusaha dengan baik, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kelantan yang begitu bersemangat memberi sokongan kepada kami.

"Kejayaan malam ini hasil kerjasama semua pihak. Sekali lagi terima kasih dan jelas kemenangan ini akan membuatkan kami untuk terus berusaha dengan lebih baik pada masa akan datang.

"Dan saya berharap selepas ini kami akan terus berkeyakinan dan bersemangat tinggi untuk mengharungi baki saingan Liga Super," ujarnya yang turut dinamakan sebagai pemain terbaik pada perlawanan itu.

Mengulas lanjut, Piya berkata, "Alhamdulillah, saya gembira dengan anugerah yang diberikan.

"Ini berita baik dan ia akan memberi semangat untuk saya terus berusaha lebih baik pada perlawanan akan datang."

--- SINAR HARIAN

Anak Kelantan bangga prestasi TRW


Red Warriors mahu akhiri Liga Super dengan kemenangan
The Red Warrior
 
KEJAYAAN Kelantan menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan final Piala FA semalam membuktikan skuad The Red Warriors (TRW) mampu memberikan tentangan walaupun berdepan pasukan yang memiliki pemain bertaraf bintang.

Malah selepas dikritik hebat dengan mempamerkan aksi hambar pada saingan Liga Super, Kelantan membuktikan pasukan itu masih lagi pasukan Gergasi Pantai Timur apabila merangkul kejuaraan Piala FA buat kali kedua berturut-turut dengan menewaskan JDT 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Bukan itu sahaja, kejayaan ini jelas menggembirakan peminat Kelantan yang ingin melihat kebangkitan pasukan kesayangan mereka selepas mempamerkan aksi hambar sebelum ini.

Ini diakui sendiri oleh salah seorang peminat tegar Kelantan yang hanya ingin dikenali sebagai Mamat.

Beliau menyifatkan prestasi yang dipamerkan oleh skuad Kelantan pada malam final itu sangat luar biasa dan membanggakan.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain Kelantan. Mereka jelas menguasai bola dengan baik.

“Inilah corak permainan yang kami mahukan dan kehadiran kami untuk menyokong mereka di stadium tidak sia-sia,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Seorang lagi peminat Kelantan, Firdaus Fauzi, 25, memuji barisan pertahanan Kelantan yang berusaha untuk menyekat pergerakan pemain JDT daripada menjaringkan gol.

Menurutnya, semangat dan kerjasama yang dipamerkan pasukan Kelantan telah memberikan hasil yang lumayan kepada pasukan itu.

“Membanggakan, malah setiap pergerakan yang dibuat pemain sangat mantap dan saya betul-betul teruja.

“Inilah saat yang kami tunggukan selama ini dan kejayaan Kelantan membuktikan kami masih lagi pasukan yang digeruni. Terima kasih saya ucapkan kepada barisan pemain kerana mengekalkan Piala FA di Kota Bharu,” ujarnya.

Menurut Azman Zakaria, 26, pula kejayaan Kelantan ke atas JDT malam tadi adalah kemenangan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong TRW.

Ini kerana katanya, kejayaan itu sekali gus membuktikan bahawa meskipun Kelantan kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain musim ini, ia sedikit tidak merencatkan perjalanan pasukan itu.

“Semua orang cakap kehilangan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Awe (Nurul Azwan Roya) akan menjejaskan Kelantan.

“Tapi adakah pemergian mereka ke JDT memberi kesan kepada pasukan itu? Saya lihat Kelantan masih hebat dan malam ini (tadi)  telah membuktikan segala-galanya.

“Saya betul-betul berbangga dan berharap Kelantan akan terus mencapai kejayaan ini selepas ini,” jelas beliau.

Sementara itu, bagi penyokong JDT, Nuri Hassan pula tetap berbangga dengan prestasi semasa pasukan JDT meskipun mereka gagal untuk mencipta sejarah buat pertama kali musim ini.

"Tahun ini adalah tahun pertama kita. Kita sepatutnya berasa bangga atas pencapaian JDT yang berjaya mara ke pentas final.

“Mungkin tahun ini rezeki tidak memihak kepada kami, tapi saya yakin JDT akan terus memperbaiki dan bekerja keras untuk memantapkan lagi pasukan itu musim depan,” katanya.

Rosmadi Ahmad pula menegaskan bahawa sokongan mereka kepada JDT tidak akan pudar meskipun pasukan itu gagal menjuarai Piala FA.

Malah katanya, semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk memberikan sokongan kepada pasukan JDT bagi meneruskan perjuangan untuk musim ini.

“Mungkin tiada rezeki untuk JDT malam ini, tapi saya yakin mereka masih berpeluang untuk muncul juara Liga Super.

“Jadi saya harap semangat pemain tidak akan luntur dan terus berusaha untuk menaikkan nama JDT,” jelas beliau yang tetap berpuas hati dengan pemain JDT.

--- SINAR HARIAN

Kemenangan tuah anak pertama


Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex
 
ANAK pertama yang bakal dilahirkan nanti nyata membawa tuah kepada Kelantan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dengan menumbangkan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, kata penjaga gol utamanya, Mohd Khairul Fahmi Che Mat.

Beliau berkata kehadiran permata sulung itu nanti memberikannya semangat untuk terus bekerja keras dalam setiap perlawanan yang disertainya.

"Alhamduliilah kita berjaya mempertahankan kejuaraan tahun ini. Mungkin ini tuah buat kami sekeluarga, terutamanya untuk isteri yang kini mengandung.

“Apa pun saya bersyukur kerana kerja keras yang dilakukan semua pemain membuahkan hasil sekali gus menggembirakan peminat yang membanjiri stadium malam tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi atau Apex turut memuji barisan pertahanan Kelantan yang banyak mematahkan serangan JDT ketika cuba menjaringkan gol.

“Saya gembira melihat prestasi semua pemain yang begitu bersemangat untuk mencipta kemenangan terutamanya barisan pertahanan yang begitu kemas dan komunikasi yang bagus setiap masa sehinggalah lawan gagal mencipta peluang melakukan gerakan.

“Kejayaan mereka (benteng) menjalankan tugas secara tidak langsung meringankan beban saya selaku benteng terakhir namun sejujurnya kerjasama semua pemain adalah punca kemenangan kami,” ujarnya yang menganggap kemenangan itu sangat bermakna buat Kelantan lebih-lebih lagi ini adalah kejuaraan pertama kami musim ini.

"Selepas Mohd Norfarhan menjaringkan gol saya lihat keyakinan rakan sepasukan semakin meningkat terutamanya di bahagian tengah dan benteng yang bijak mengatur serangan selain mematahkan gerakan lawan.

“Semua pemain telah menjalankan tugas dengan cukup sempurna dan kejayaan Piala FA ini milik semua,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Saturday, June 29, 2013

Piala FA Milik Kelantan Untuk Musim Kedua Berturut-turut


KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kelantan berjaya mempertahankan Piala FA 2013 selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Sabtu malam.

Pemain tengah Mohd Norfarhan Muhammad meleburkan impian pasukan berstatus bintang dengan jolokan 'Harimau Selatan' apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-14, hasil hantaran kapten Mohd Badhri Mohd Radzi.

Kelantan memulakan permainan dengan tenang tetapi berbisa dengan gerakan kemas sehingga pasukan lawan terpaksa memperketatkan benteng pertahanan selepas asakan bertali arus dilancarkan oleh skuad 'The Red Warriors'.

Jurulatih Kelantan Bojan Hodak mempertaruhkan gandingan Mohd Norfarhan, Mohd Badhri dan pemain import Dickson Nwakaeme untuk memburu gol.

Bagaimanapun, Johor DT bangkit seketika untuk membalas dan hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan deras pemain import Leonel George Nunez, yang menggantikan Mohd Safee Mohd Sali, berjaya ditepis oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-22.

Pada babak kedua, Kelantan kembali dengan semangat untuk merobek gawang gol lawan dan percubaan bahaya oleh Nwakaeme pada minit ke-54 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah.

Usaha penyerang berbisa Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63 tidak dikira apabila berlaku kekasaran sebelum jaringan gol.

Johor DT yang semakin tertekan dengan ketinggalan 1-0 memperkemaskan jentera serangan namun cubaan yang dilakukan oleh Nunez pada minit ke-80 sedikit tersasar melepasi gawang gol.

Terdahulu sebelum perlawanan, kira-kira 90,000 penonton dengan kebanyakan berpakaian warna biru dan merah dihiburkan dengan nyayian lagu Negaraku oleh penyanyi terkenal Jaclyn Victor.

-- BERNAMA

Friday, June 28, 2013

Hodak Yakin Kelantan Dapat Pertahankan Piala FA


KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak yakin anak buahnya dapat mempertahankan Piala FA apabila menentang pasukan bertaraf bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu malam.

Jurulatih kelahiran Croatia berusia 42 tahun itu berkata walaupun mereka merupakan pasukan pilihan untuk mengekalkan kejuaraan tahun lepas namun beliau tidak mahu anak buahnya mengambil mudah lawan mereka.

"Bagi saya, menentang pasukan terbaik di negara ini seperti Johor DT datang dengan tekanan yang sama seperti bermain pada perlawanan akhir Piala Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di sini Jumaat.

Hodak berkata walaupun Johor DT mempunyai barisan pemain bertaraf bintang namun mereka perlu memerhatikan gerakan pemain tengah Mohd Nurul Azwan Roya yang pernah menyarung jersi Kelantan sebelum ini.

Beliau berkata semua pemain sudah bersedia untuk final kecuali pemain tengah Indra Putra Mahayuddin dan penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Turut senada dengan Hodak ialah kapten pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Mohd Radzi yang menuntut rakan sepasukannya memberi persembahan terbaik apabila berdepan dengan pasukan lawan yang digelar 'Harimau Selatan'.

"Bagi saya, memang mudah untuk mengekalkan kejuaraan namun bukan senang untuk mempertahankannya...bagi saya peluang kedua-dua pasukan untuk memenangi perlawanan esok adalah 50-50.

"Tumpuan semestinya harus diberi kepada Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) kerana beliau pernah bermain bersama kami," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Johor DT, Fandi Ahmad berharap anak buahnya dapat mengejutkan pasukan gergasi Pantai Timur itu.

"Saya belum memutuskan kesebelasan utama tetapi saya menuntut komitmen penuh daripada setiap pemain bagi memastikan kami menjuarai Piala FA esok," kata legenda bola sepak Singapura berusia 51 tahun itu.

-- BERNAMA

Tuesday, June 25, 2013

Perkhidmatan KTM Komuter Dilanjut Sempena Perlawanan Akhir Piala FA


KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad akan melanjutkan waktu perkhidmatan tren KTM komuter sempena perlawanan akhir Piala FA 2013 antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan KTM Berhad perkhidmatan tren komuter ke Rawang dan Seremban/Sungai Gadut akan dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam dari stesen komuter Bandar Tasek Selatan (stesen transit ke Stadium Nasional Bukit Jalil).

Tren komuter terakhir ke Pelabuhan Klang dan Batu Caves ialah pada 1 pagi Ahad dari stesen Sentral Kuala Lumpur.

KTM Berhad juga akan menyediakan perkhidmatan tren tambahan sempena perlawanan akhir itu bagi memudahkan urusan perjalanan penonton.

"Peminat bola sepak khususnya penyokong Kelantan dan JDT boleh menaiki perkhidmatan KTM komuter dari mana-mana stesen ke Stesen Bandar Tasek Selatan dan membuat pertukaran tren Rapid KL untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil," menurut kenyataan itu lagi.

Mereka juga digalak membeli tiket perjalanan dua hala untuk kelancaran perjalanan pulang.

-- BERNAMA

Sunday, January 20, 2013

Nasihat Annuar buat TMJ

“SAYA nasihatkan TMJ (Tunku Mahkota Johor) supaya jadi presiden (bola sepak negeri) serupa dengan presiden-presiden lain. Ada ramai presiden persatuan bola sepak di negara ini. Sama ada beliau, Wan, Nik, Datuk, Tengku, Raja atau Sultan sekalipun, mari kita ikut satu peraturan sahaja.”

Itu antara nasihat yang diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) semalam yang dianggap mencetuskan perkara-perkara ‘pelik’ yang membawa kegawatan dalam arena bola sepak negara masa ini.

Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan yang terbaru apabila pasukan Johor Darul Takzim yang dikatakan membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.

Bagaimanapun, PBNJ menjelaskan kelmarin bahawa pasukan tersebut bukan anggota GGK sebaliknya askar Timbalan Setia Negeri (TSN) atau Johor Military Force (JMF) yang ditugaskan untuk mengawal pergerakan kerabat Johor yang menghadiri majlis tertentu termasuk mana-mana acara sukan.

“Sebelum ini belum pernah berlaku kegawatan dalam bola sepak negara. Sekarang timbul soal mengambil pemain menerusi ‘pintu belakang’, bawa masuk askar dalam stadium, ini semua hanya dibawa oleh PBNJ sahaja.

“Jadi nasihat saya sebagai orang tua kepadanya, apapun dia adalah rakan sejawat saya. Lupakan latar belakang kita, saya, Tan Sri dan beliau, Tunku.

“Saya mahu nasihat beliau dan beliau juga pernah menasihati saya. Tak usah bawa benda pelik-pelik dalam bola sepak negara. Buat seperti biasa sahaja. Bola sepak ini permainan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melor, Kota Bharu, Kelantan semalam.

Annuar mendedahkan bahawa beliau telah mengambil langkah keselamatan yang ‘luar biasa’ untuk memastikan penyokong-penyokong Johor dijaga dengan baik pada perlawanan, Selasa lalu antaranya memikirkan bagaimana hendak membawa masuk, keluar mereka serta meminta bantuan kelab penyokong rasmi bagi jaga pasukan pelawat.

“Saya tak pernah lagi menyusun urusan keselamatan pasukan pelawat seperti mana yang kami buat untuk Johor. Saya mahu dia faham mengenai perkara ini. 

“Sepanjang jadi presiden KAFA, saya belum pernah mengambil tanggungjawab sendiri dan mengadakan perbincangan sendiri kerana memikirkan supaya penyokong-penyokong Johor dapat dijaga dengan baik. Sebelum ini, biasanya saya serahkan kepada bahagian pentadbiran.

“Dan saya tak pernah melibatkan kelab penyokong untuk menjaga pasukan pelawat. Ini kali pertama kami lakukan untuk Johor. Semuanya berjalan baik dan melalui perbincangan, jadi gambaran yang diberikan tidak tepat,” ujarnya.

Baru-baru ini pasukan Johor Darul Takzim telah membawa masuk GGK di stadium sehingga menimbulkan polemik adakah stadium di Kota Bharu tidak selamat.

Permusuhan antara Johor Darul Takzim dan Kelantan bukan hanya di atas padang kerana sebelum saingan liga bermula, kedua-dua pasukan sudah berbalah mengenai perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau Selatan itu yang didakwa KAFA sebagai salah.

Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pusat mendakwa tindakan Norshahrul tidak salah. FAM turut mendakwa tindakan membawa GGK tidak ada kesalahan.
Dalam pada itu, Annuar ketika ditanya mengenai keputusan FAM itu, beliau secara sinis berkata, setakat ini Johor tidak pernah melakukan kesalahan.

PBNJ buat akuan bersumpah

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bertindak membuat akuan bersumpah terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa gagal mengawal keselamatan para pemain serta penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Selasa lalu, lapor MAZLINA ABDUL MAJID.

Akuan tersebut dibuat oleh Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim dan Bendahari Kehormat PBNJ, Datuk Abd. Latif Bandi yang juga merangkap Penolong Pengurus pasukan Johor DT.

Menurut Suhairi, akuan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai rujukan.

"Tujuan (membuat akuan bersumpah) ialah untuk mendapatkan jawapan terhadap janji KAFA yang mahu menjamin keselamatan dan keselesaan para penyokong Johor DT sebagai tetamu. Ada antara mereka yang cedera dan trauma gara-gara insiden baru-baru ini.

"Saya sebagai ketua yang sepatutnya menjaga keselamatan ahli rombongan berasa amat kecewa dan malu kepada peminat-peminat Johor DT," katanya kepada Kosmo! Ahad di Johor Bahru semalam.

Akuan bersumpah itu antara lain menjelaskan butiran mesyuarat antara wakil KAFA iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ismail Mohd. Nor mengenai perlawanan kedua-dua pasukan pada pukul 2 petang, 15 Januari lalu sebelum permainan berlangsung.

Kenyataan tersebut turut menyebut, Annuar dan Ismail mengesahkan bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang kehadiran 200 penyokong Johor DT tetapi bersedia untuk menyambut kedatagan tetamu VVIP dari Johor DT walaupun hal itu telah dimaklumkan dalam surat PBNJ kepada KAFA bertarikh 14 Januari lalu.

"Kami berbincang tentang suasana semasa apabila penyokong Kelantan masih tidak berpuas hati dengan isu Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan saya menyatakan bahawa semua pihak perlu bersedia berhadapan provokasi daripada penyokong, serta kebimbangan tentang isu keselamatan. 

"Oleh itu, Annuar telah minta Ismail untuk memanggil satu mesyuarat keselamatan antara PBNJ, KAFA dan pihak-pihak yang bertanggungjawab," menurut akuan tersebut.

Saturday, January 19, 2013

Kelantan kecewa lagi

Oleh Saiful Affendy Sapran saifulaffendy@hmetro.com.my Ia adalah keputusan seri kedua berturut-turut diraih The Red Warriors (TRW) selepas mengikat pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim 1-1 sebelum ini sekali gus permulaan hambar selepas mengharungi empat perlawanan.

Meskipun dilihat menguasai bahagian tengah, skuad kendalian Bojan Hodak itu terus buntu ketika melancarkan serangan serta mencari penyudah terbaik, baik pada babak pertama ataupun babak kedua.

Sebaliknya, Felda United lebih menyerlah dengan sekurang-kurangnya melakukan tiga cubaan berbahaya tepat ke arah gawang gol Kelantan pada babak pertama dengan bekas pemain TRW, Mohammed Ghaddar menjadi antara watak penting kesemua cubaan itu.

“Saya puas hati dengan prestasi pemain. Sebenarnya kami mampu meraih tiga mata penuh terutama beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama tapi ia gagal disempurnakan.

“Ada beberapa perkara perlu kami perbaiki selepas ini, contohnya Ghaddar jelas memerlukan bantuan di bahagian depan. Gerakan dari bahagian sayappun tidak begitu menjadi,” kata pengendali Felda United, K Devan. Menyedari gagal mempamer aksi terbaik pada babak pertama, Kelantan menampilkan watak berbeza pada babak kedua dengan Mohd Khairul Izuan Rosli hampir memecah kebuntuan tapi rembatan kencangnya berjaya ditampan kemas penjaga gol Felda United, Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-69.

Muhammad Izuan Mohd Salahuddin sekali lagi hampir menyumbang gol pertama Kelantan selang tiga minit kemudian tapi tandukannya dapat dibaca Mohd Helmi.

Kelantan terus berusaha untuk menjaringkan gol pada lewat permainan tapi mereka akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

--- HARIAN METRO

TRW, JDT sama hebat

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD & FOTO : KHIRU SHALEH ABDULLAH
19 Januari 2013
Komitmen berterusan Nik Md Shahrul Azim memastikan benteng pertahanan Kelantan terus utuh.
UMPAMA perlawanan akhir! Itulah gambaran suasana pertembungan dua seteru baharu, Kelantan menentang Johor Darul Takzim (JDT) yang berkesudahan terikat seri 1-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Selasa lalu.

Insiden letupan mercun, keputusan kontroversi pengadil perlawanan serta kekecohan berlaku antara penyokong TRW dengan Harimau Selatan antara yang menghiasi perlawanan ‘bertaraf lima bintang’ pada aksi ketiga saingan Liga Super ini.

MENARIK


Dua jaringan menarik dalam babak berbeza, menerusi rembatan jarak jauh Mohd Norfarhan Muhammad dan sepakan bebas bekas pemain kebangsaan Sepanyol, Daniel Guiza menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati berkongsi mata dalam perlawanan tersebut.

Beraksi di hadapan hampir 25,000 penonton, TRW yang turun dengan misi memburu kemenangan kedua tampil dengan corak lebih permainan pantas, memberikan isyarat mereka kembali menemui rentak sebenar pada saingan liga domestik ini.

TENAGA

Anak buah Bojan Hodak jelas mempamerkan persembahan jauh bertenaga berbanding ketika tewas 0-1 kepada T-Team pada perlawanan terdahulu. Barisan pertahanan diterajui Obinna Nwaneri bersama Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohd Daudsu Jamaludin dan Zairul Fitree Ishak menunjukkan disiplin tertinggi menyekat serangan pasukan JDT.

Jentera tengah yang di kemudi Kapten Marvel, Mohd Badhri Radzi juga berfungsi lebih efisien namun dikecewakan dengan penyudah yang tumpul oleh Keita Mandjou mengakibatkan TRW gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan tersebut.

DERETAN 


Dalam pada itu, corak permainan pasukan JDT yang dikendalikan Fandi Ahmad nyata tidak menghampakan. Jelas, pasukan yang dibarisi deretan pemain bintang ini mempunyai ramuan lengkap untuk menjadi pencabar utama pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Ketangkasan Muhammad Zamir Selamat di pintu gol pasukan JDT wajar mendapat pujian kerana beliau berjaya menggagalkan beberapa percubaan berbahaya pemain tuan rumah. Malah beliau berpotensi menjadi penjaga gawang nombor satu skuad negara pada masa depan.

Kehadiran Mohamad Aidil Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohamad Muslim Ahmad dan Mohamad Azmi Muslim di posisi pertahanan serta Shafiq Rahim dan Mohd Nurul Azwan Roya di jentera tengah menambahkan lagi sengat pasukan yang terkenal dengan jolokan Harimau Selatan itu.

TERHAD


Cuma sumbangan pemain import, Simone Del Nero dilihat kurang berkesan sehingga beliau dikeluarkan pada pertengahan babak pertama. Bekas pemain kelab Lazio musim 2007-2012 itu dilihat masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak di negara kita.

Gandingan dua penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Mohd Sali sememangnya cukup berbahaya ditambah dengan kehadiran Daniel Guiza yang terbukti mempunyai dua peranan boleh beraksi di sayap kiri dan penyerang sokongan pasukannya.

--- SINAR HARIAN

Thursday, January 17, 2013

Tunku Mahkota Johor Nafi Anggota TSN Berada Di Stadium Sultan Muhammad IV

JOHOR BAHARU, 17 Jan (Bernama) -- Anggota tentera yang kelihatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu ketika perlawanan bola sepak antara Johor Darul Takzim dan Kelantan dua hari lepas merupakan anggota komando Rejimen 21 Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan mereka yang lengkap bersenjata itu merupakan anggota tentera daripada pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).

"Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu," titah baginda pada sidang media di kediaman baginda di sini Khamis.

Baginda bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK menyaksikan perlawanan terbabit.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang telah ditetapkan dan tidak perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

"Kita boleh tanya kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka ditugaskan bersedia untuk kehadiran Sultan Johor," titah baginda.

Media hari ini melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan berikutan kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka daripada TSN pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas.

Sementara itu, Tunku Ismail juga melahirkan kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang tidak melakukan persediaan bagi mengawal keselamatan penyokong Johor yang hadir di stadium semasa perlawanan itu.

Tindakan KAFA tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium adalah amat dikesali, titah baginda.

Tunku Ismail bertitah pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan.

"Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium".



-- BERNAMA