Saturday, January 19, 2013

Kelantan kecewa lagi

Oleh Saiful Affendy Sapran saifulaffendy@hmetro.com.my Ia adalah keputusan seri kedua berturut-turut diraih The Red Warriors (TRW) selepas mengikat pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim 1-1 sebelum ini sekali gus permulaan hambar selepas mengharungi empat perlawanan.

Meskipun dilihat menguasai bahagian tengah, skuad kendalian Bojan Hodak itu terus buntu ketika melancarkan serangan serta mencari penyudah terbaik, baik pada babak pertama ataupun babak kedua.

Sebaliknya, Felda United lebih menyerlah dengan sekurang-kurangnya melakukan tiga cubaan berbahaya tepat ke arah gawang gol Kelantan pada babak pertama dengan bekas pemain TRW, Mohammed Ghaddar menjadi antara watak penting kesemua cubaan itu.

“Saya puas hati dengan prestasi pemain. Sebenarnya kami mampu meraih tiga mata penuh terutama beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama tapi ia gagal disempurnakan.

“Ada beberapa perkara perlu kami perbaiki selepas ini, contohnya Ghaddar jelas memerlukan bantuan di bahagian depan. Gerakan dari bahagian sayappun tidak begitu menjadi,” kata pengendali Felda United, K Devan. Menyedari gagal mempamer aksi terbaik pada babak pertama, Kelantan menampilkan watak berbeza pada babak kedua dengan Mohd Khairul Izuan Rosli hampir memecah kebuntuan tapi rembatan kencangnya berjaya ditampan kemas penjaga gol Felda United, Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-69.

Muhammad Izuan Mohd Salahuddin sekali lagi hampir menyumbang gol pertama Kelantan selang tiga minit kemudian tapi tandukannya dapat dibaca Mohd Helmi.

Kelantan terus berusaha untuk menjaringkan gol pada lewat permainan tapi mereka akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

--- HARIAN METRO