KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad akan melanjutkan waktu perkhidmatan tren KTM komuter sempena perlawanan akhir Piala FA 2013 antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Menurut kenyataan KTM Berhad perkhidmatan tren komuter ke Rawang dan Seremban/Sungai Gadut akan dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam dari stesen komuter Bandar Tasek Selatan (stesen transit ke Stadium Nasional Bukit Jalil).
Tren komuter terakhir ke Pelabuhan Klang dan Batu Caves ialah pada 1 pagi Ahad dari stesen Sentral Kuala Lumpur.
KTM Berhad juga akan menyediakan perkhidmatan tren tambahan sempena perlawanan akhir itu bagi memudahkan urusan perjalanan penonton.
"Peminat bola sepak khususnya penyokong Kelantan dan JDT boleh menaiki perkhidmatan KTM komuter dari mana-mana stesen ke Stesen Bandar Tasek Selatan dan membuat pertukaran tren Rapid KL untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil," menurut kenyataan itu lagi.
Mereka juga digalak membeli tiket perjalanan dua hala untuk kelancaran perjalanan pulang.
-- BERNAMA