Piala FA pengubat duka
Sebahagian barisan pemain Kelantan yang bakal beraksi malam ini.
 
Piala FA pengubat duka
Gagal beraksi di pentas akhir tahun lalu, Norfarhan mahu membuktikan kehadirannya malam ini memberi kemenangan buat TRW.
 
MEMENANGI Piala FA dilihat pengubat duka bagi The Red Warriors setelah terpaksa melepaskan trofi kejuaraan Liga Super kepada pasukan lain pada musim ini.

Bagi Kelantan, misi perlawanan malam ini cukup penting bukan sahaja mahu mempertahankan piala yang dimenangi malah lebih berkisar soal maruah apatah lagi pernah dikecewakan Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan seri 1-1 dan tewas 0-2 dalam saingan Liga Super musim ini.

BALAS

Malah pengendali pasukan, Bojan Hodak tidak mempunyai pilihan selain perlu tampil dengan percaturan taktikal terbaik, sesuatu yang diharapkan penyokong setia apabila bertemu skuad Harimau Selatan sekali gus membalas dendam di atas kekalahan tersebut.

Pendakian Kelantan dalam kempen Piala FA musim ini bermula dengan menewaskan pasukan berstatus kelab, PKNS FC 4-2 pada pusingan kedua sebelum menyingkirkan juara Liga Premier musim ini, Sarawak menerusi agregat 4-1 dalam saingan suku akhir.

KANDAS

Begitu pun, perjuangan Kelantan dalam usaha mengekalkan kejuaraan musim lalu hampir terkandas ketika bertemu negeri berjiran, Terengganu pada saingan separuh akhir. Kelebihan empat gol ketika menang 4-1 ke atas skuad kendalian E Elavarasan di Kota Bharu gagal dipertahankan pada aksi timbal balik berikutnya.

Ketika lambaian pentas final Piala FA edisi ke-24 semakin hampir buat Terengganu, Obinna Nwaneri menjadi watak penting apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan yang menyaksikan keputusan 4-1 memihak Sang Penyu untuk mengikat agregat 5-5 di Kuala Terengganu.

Penyerang import sensasi, Dickson Nwakaeme yang sering dibelenggu kecederaan bagaimana pun muncul wira sebenar apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk membawa Kelantan ke pentas akhir buat kali keempat dalam tempoh lima tahun menerusi agregat 6-5.

IMPIAN

Pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil disifatkan perlawanan akhir yang menjadi impian ramai pemerhati dan peminat bola sepak seluruh negara untuk melihat siapa lebih berhak menjadi jagoan, sama ada gergasi Pantai Timur atau pasukan berstatus kelab dari selatan tanah air itu.

Malah Hodak sendiri membayangkan betapa barisan pemainnya sudah dibekalkan semangat dan motivasi tinggi untuk mempertahankan gelaran juara apabila bertemu pasukan dilimpahi pemain bintang seperti JDT  itu.

Cukup manis buat Kelantan, jika dapat menewaskan Harimau Selatan malam ini dan menjulang piala bernilai RM80,000 itu di gelanggang neutral sambil disaksikan puluhan ribu penyokong setia mereka.

--- SINAR HARIAN