Mohd Norfarhan Muhammad
Mohd Norfarhan Muhammad
 
PEMAIN Kelantan mendominasi 27 senarai pemain Harimau Malaya yang bakal berdepan beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa dan perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

Tujuh pemain The Red Warriors yang dipilih jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, pertahanan; Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Matt Rose, pemain tengah; Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi dan penyerang; Mohd Nor Farhan Muhammad, Mohd Fakri Saarani.

Rajagobal juga dilihat masih mengekalkan beberapa pemain sama dan tetap menyenaraikan pemain ‘kesayangannya’, Mohd Safee Mohd Sali serta Safiq Rahim, walaupun kedua-dua pemain Johor Darut Takzim (JDT) ini mempamerkan aksi hambar dalam kancah Liga Super.

Melalui senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), perancang muda PKNS, Muhammad Nazmi Faiz Mansor turut tersenarai bagi membantu barisan tengah negara.

Rajagobal juga tidak meminggirkan pasukan juara Liga Perdana, Sarawak di mana tiga pemain skuad Bujang Senang iaitu Bobby Gonzales, Putera Nadher Amarhan Maderner dan Sani Anuar Kamsani diletakkan dalam senarai menunggu.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu Chelsea (21 Julai) di Stadium Shah Alam dan Barcelona (10 Ogos) di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum berdepan beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa.

Harimau Malaya akan memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Asia, bertemu Bahrain, 15 November di Stadium Nasional.

--- SINAR HARIAN