KOTA BHARU - Kebangkitan dramatik pada 10 minit terakhir permainan
memastikan juara bertahan, Kelantan melangkah ke perlawanan akhir Piala
Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas menyingkirkan
finalis musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kiraan
agregat 4-3 setelah terikat 2-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Ketika ramai menyangkakan Kelantan akan melangkah ke perlawanan
akhir dengan mudah, percaturan pengendali ATM, B. Sathianathan begitu
menjadi pada babak pertama apabila Marlon Alex James meledak dua
jaringan pada minit ke-18 dan 35 bagi meletakkan The Gladiators berada
di hadapan seketika menerusi kiraan agregat 3-2.
Namun, pemain gantian, Ahmad Fakri Saarani meniupkan api perjuangan
The Red Warriors apabila berjaya menyamakan kedudukan agregat pada minit
ke-82 sebelum jaringan menarik daripada ketua pasukan, Mohd. Badhri
Mohd. Radzi, tiga minit kemudian memastikan Kelantan bergelar finalis
Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini bagi memburu kejuaraan ketiga
dalam sejarah penganjuran kejohanan itu.
Kejayaan anak-anak buah Bojan Hodak bagaimanapun terpaksa dibayar
dengan harga yang mahal ekoran tonggak di bahagian pertahanan, Obinna
Nwaneri mengutip kad kuning kedua sekali gus terlepas aksi di perlawanan
akhir yang dijadualkan 3 November ini di Stadium Shah Alam.
Separuh akhir pertama ternyata menjadi milik ATM dengan benteng tuan
rumah gagal mengunci pergerakan Marlon yang kerap kali berjaya
meloloskan diri di dalam kotak penalti lawan di samping kepantasan
Christie Jayaseelan dan Venice Elphi Danny Kaya di bahagian sayap
menjadi taruhan utama Sathianathan dalam melancarkan serangan balas.
Malah, pertahanan ATM sebelum ini yang nampak longgar ketika aksi
separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang cukup berdisiplin serta tidak membiarkan Dickson Nwakaeme
terlalu bebas mengawal bola.
Bagaimanapun, tindakan bijak Bojan Hodak meningkatkan tempo
permainan anak-anak buahnya pada separuh masa kedua akhirnya memberikan
pulangan setimpal apabila Fakri yang masuk menggantikan Zairo Anuar
Zailani membuktikan dia masih ada bisa apabila menjaringkan gol penting,
lapan minit sebelum perlawanan tamat sebelum disudahkan Badhri atau
Piya dengan penuh bergaya pada minit ke-85.
--- UTUSAN MALAYSIA