Monday, November 25, 2013

Amar berminat ke Kelantan


Amar mengakui pernah dilamar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dua bulan lalu untuk beraksi bersama Kelantan namun setakat ini masih belum ada perbincangan lanjut diadakan melibatkan kedua-dua pihak.

“Namun sehingga hari ini belum ada sebarang perjanjian hitam putih mengenai tawaran kontrak oleh pihak Kafa kepada saya. Itu sahaja yang saya boleh beritahu mengenai kedudukan saya ketika ini.

“Memang saya cukup impikan untuk bermain dengan pasukan hebat seperti Kelantan. Insya-ALLAH sekiranya diberi peluang, saya akan berikan khidmat terbaik kepada pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jika menjadi kenyataan, kehadiran Amar, pemain yang pernah membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF Suzuki buat pertama kali pada tahun 2010 dijangka mampu mengukuhkan jentera tengah Kelantan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohd Shakir Shaari.

Amar, 26, yang baru sahaja menamatkan kontrak dengan Felda United FC memberitahu, dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha dan bersedia membuat penampilan semula pada saingan Liga-M musim depan.

Selain Kelantan, pemain yang berasal dari Perlis itu juga turut mendapat tawaran beraksi dengan beberapa pasukan lain seperti PDRM, Sime Darby FC dan T-Team untuk musim depan namun masih belum mempunyai keputusan.
 
--- SINAR HARIAN