Sunday, November 10, 2013

Annuar Nafi Dakwaan Pinggir Beberapa Pemain Kelantan



KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan bahawa beliau meminggirkan beberapa pemain pasukan itu apabila menyenarai nama mereka yang akan berpindah ke pasukan lain musim depan, dalam Facebooknya baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata para pemain berkenaan sepatutnya memberitahu perkara sebenar dan tidak mereka-reka cerita.

Annuar menegaskan beliau terpaksa memujuk pemain terbabit untuk terus beraksi dengan pasukan Kelantan musim depan kerana sebahagian daripada mereka meminta kenaikan gaji yang tidak dapat dipenuhi oleh KAFA.

"Kita pun dah reda...yang nak pergi itu pergilah...tak usah reka alasan. Pintu KAFA tetap terbuka sampai sekarang.

"Nak keluar (dari pasukan) boleh, nak masuk pun boleh, tutup pendaftaran (pemain) 17 Dis (ini)," katanya menerusi laman Facebook beliau, Jumaat.

Annuar mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan pemain tengah Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad yang beliau merupakan beberapa pemain yang disenarai oleh Annuar dalam Facebooknya untuk berhijrah ke pasukan lain musim depan, sedangkan beliau belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Selain Norfarhan, tujuh pemain lain turut dikatakan bakal berhijrah ke pasukan lain musim depan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Mohd Shakir Shaari, Azizi Matt Rose, Rizal Fahmi Rosid, Mohd Izuan Solahuddin.

Indra Putra dilaporkan bakal beraksi bersama pasukan Liga Perdana, Felda United FC, Mohd Shakir ke Selangor manakala Daudsu dan Subramaniam akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

Dalam entri berasingan, Annuar berkata pasukan berkenaan sudah berjaya mendapatkan khidmat dua bekas pemenang kasut emas (penjaring terbanyak) untuk memperkuatkan skuad 'The Red Warriors' bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

"Dua sudah sah manakala satu lagi pemain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Annuar, sebelum ini mengesahkan bahawa bekas pengendali pasukan Perak, Steve Darby bakal menggantikan Bojan Hodak yang bakal mengubah haluan ke pasukan lain.

Darby, 58, kelahiran Liverpool, England, mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan di beberapa negara Asia sejak 1979.

Kelantan yang meraih kejuaraan trebel pada 2012 hanya mampu mempertahankan gelaran Piala FA musim ini selepas menumpaskan JDT 1-0 pada aksi final, 29 Jun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada perlawanan akhir Piala Malaysia 3 Nov lepas di Stadium Shah Alam, Kelantan gagal mempertahankan kejuaraan tersebut apabila tumpas kepada Pahang 1-0.

Pada saingan Liga Super musim ini, pasukan berkenaan hanya mampu menduduki tangga keempat daripada 12 pasukan dengan 36 mata daripada 22 perlawanan liga.



-- BERNAMA