Awang
Adek (kanan) menyambut ketibaan Piala Malaysia yang dibawa oleh Azman
Ibrahim (tengah) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan
Chepa, hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU - Kira-kira 10,000 penyokong The Red Warriors membanjiri
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini
bagi menyambut ketibaan Piala Malaysia 2012 selepas Kelantan berjaya
merangkul gelaran juara menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2
di Stadium Shah Alam, semalam.
Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, para penyokong yang berpakaian
serba merah, tetap bersemangat menunggu ketibaan pasukan kesayangan
mereka walaupun terpaksa berdiri lebih dari tiga jam berikutan
penerbangan yang tertunda.
Kira-kira 7.00 petang, kelibat Piala Malaysia yang dijulang Pengurus
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim bersama para pemain,
nyata menggamatkan lapangan terbang apabila menerima sorakan serta
tepukan bergemuruh daripada para penyokong.
Kemenangan Kelantan itu turut diraikan Timbalan Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Husin yang turut
meluangkan masa bersama ribuan peminat menunggu ketibaan piala tersebut.
Tepat 7.30 petang, perarakan motosikal berkuasa tinggi dan kereta
mengiringi bas yang dinaiki oleh pengurusan KAFA serta para pemain ke
Kelantan Trade Centre (KTC) untuk dipamerkan sementara di sana.
Perarakan itu juga turut menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan
kira-kira 15 kilometer dari lapangan terbang menuju ke pusat bandar.
Sementara itu, Azman berkata pengurusan tertinggi KAFA akan
bermesyuarat tidak lama lagi berhubung kontrak yang akan ditandatangani
oleh beberapa pemain, dan beliau yakin ramai yang akan kekal bersama
Kelantan.
"Apa yang pasti, para pemain diberi cuti selama sebulan selepas
mengharungi musim yang agak memenatkan ini," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, kapten pasukan Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi berkata
kemenangan The Red Warriors itu adalah hadiah terbaik untuk para
penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka.
"Terima kasih juga buat para pemain yang sentiasa memberi persembahan
terbaik sehingga tercipta sejarah baru...Kejayaan treble ini juga hadiah
buat para penyokong," katanya.
Kelantan, yang sudah memiliki gelaran juara Liga Super dan Piala FA,
melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Piala Malaysia buat kali
kedua selepas 2010 setelah mengetepikan ATM 3-2.
Gol Kelantan dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke 44
dan ke-50, dan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke 96. - Bernama
--- SINAR HARIAN