Thursday, April 23, 2015

Azraai Khor Puas Hati Persembahan Pemain Import

 foto: Sinar

KOTA BAHARU, 22 April (Bernama) -- Jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh kesemua pemain import pasukan itu.

Beliau berkata persembahan cemerlang yang dipamerkan barisan pemain importnya membolehkan Kelantan mencatat kemenangan 3-0 pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Sime Darby FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini Selasa malam.

"Kemenangan adalah disebabkan kerjasama tiga penyerang import iaitu Erwin Carillo, Austin Amutu dan Gilmar Da Silva, mereka semua ada keserasian.

"Ini merupakan kemenangan yang dinantikan, Amutu pula memuaskan, apa yang dirancang dapat dilakukan dan kami mempunyai barisan penyerang yang seimbang," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, Selasa malam.

Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu di sini, pasukan Kelantan hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi setelah beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh kapten pasukan pelawat, Ivan Dragicevic.

Pemain import baharu dari Nigeria, Amutu menggandakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-58 sebelum Carillo mengesahkan tiket separuh akhir untuk Kelantan setelah menyudahkan hantaran daripada Amutu pada minit ke-74.

Mohd Azraai Khor berkata kemenangan pertama sejak mengambil alih pasukan daripada George Boateng diharap dapat menaikkan semangat pasukan untuk beraksi lebih baik dalam saingan Liga Malaysia terutama untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

"Selepas lima perlawanan baru kami dapat kemenangan, saya harap kami dapat kekalkan momentum.

"Terima kasih juga kepada penyokong yang tidak putus asa memberi sokongan, kami akan berusaha lebih lagi untuk mempertingkat pasukan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemain juga dinasihatkan untuk terus berusaha meningkatkan mutu permainan dan fokus pada perlawanan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, Sabtu ini.

"Kami perlu berhati-hati kerana pencapaian Selangor kebelakangan ini amat baik," katanya.

Selepas lapan perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan hanya menjaringkan enam gol dan kini berada di tangga ke-10 dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan dan satu seri.

--BERNAMA