Piala FA: Kedah Berdepan Laluan Sukar Di Pusingan Ketiga
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Juara tiga kali Piala FA, Kedah berdepan laluan sukar pada pusingan ketiga selepas diundi menentang juara dua kali, Kelantan di halaman sendiri.
Pada undian yang disiarkan secara langsung melalui TV9 hari ini, juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) pula akan menentang juara dua kali Piala FA, Negeri Sembilan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Untuk rekod, JDT yang sebelum ini dikenali sebagai Johor FA muncul juara Piala FA 1998, manakala Negeri Sembilan pula merupakan juara pada 2003 dan 2010.
Juara lima kali Piala FA, Selangor pula akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat, Melaka menentang juara Liga Perdana 2014, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pusingan ketiga Piala FA akan berlangsung pada 4 dan 5 Mac ini, yang menggunakan format kalah mati.
Undian:
Kuantan FA lwn Perak
Perlis lwn Kuala Lumpur
Felda United lwn PKNS FC
PDRM lwn Selangor
JDT lwn Negeri Sembilan
Angkatan Tentera Malaysia lwn Sabah
Pahang FC lwn Sime Darby
Kedah lwn Kelantan
-- BERNAMA