Friday, May 13, 2016

K Devan tinggalkan Kelantan



RIBUT tiada, angin pun tiada. Tiba-tiba kem Kelantan dikejutkan berita peletakan jawatan ketua jurulatih mereka, K Devan sekali gus meletakkan pasukan itu dalam situasi sukar bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Jodoh Devan bersama Kelantan nyata tidak panjang apabila pengendali berusia 54 tahun itu akhirnya melepaskan jawatan yang disandangnya sejak lima bulan lalu berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Devan berkata, dia melepaskan jawatan ketua jurulatih skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors atas faktor peribadi, namun enggan mengulas lanjut berhubung tindakan mengejutnya itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan), Tan Sri Annuar Musa dan pengurusan persatuan itu kerana memberi peluang kepada saya melatih pasukan Kelantan pada musim ini.

“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan, pemain dan penyokong The Red Warriors di atas kerjasama diberikan. Selain itu, saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan ini untuk menghadapi saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Bekas jurulatih Negeri Sembilan itu dipilih oleh Kafa bagi menggantikan pemangku jurulatih ketika itu, Zahasmi Ismail, awal Disember tahun lalu, selepas pengurusan bola sepak Kelantan itu gagal membawa masuk dua nama besar iaitu V Sundramoorthy dan B Satiananthan.

Sepanjang mengendalikan pasukan Kelantan pada musim ini, Devan sekadar membawa skuad pantai timur itu mara ke pusingan ketiga kempen Piala FA sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Kedah.

Selain itu, bekas juara tiga piala musim 2012 itu turut menampilkan prestasi tidak konsisten apabila sekadar menghuni tangga keenam dalam saingan Liga Super hasil tiga kemenangan, tiga seri dan empat kali tewas dalam 10 perlawanan.

Ketika ditanya sama ada keputusannya melepaskan kerusi panas dalam pasukan Kelantan itu mendapat restu daripada pengurusan tertinggi Kafa, Devan sekadar memberitahu sudah tiba masanya dia berbuat demikian.

“Saya dah letak jawatan, saya rasa sudah sampai masanya saya berbuat demikian...... Saya akan maklumkan (peletakan jawatan itu) kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar (Musa) sekejap lagi,” katanya.

--- SINAR HARIAN