“KALAU tak minat, sila keluar dari Kelantan,” Itu kata
dua pengendali baharu Kelantan, Velizar Popov kepada mana-mana pemain
yang tidak lagi berminat membantu pasukannya mengharungi baki saingan
Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Jurulatih kelahiran Bulgaria itu jelas tidak dapat menyembunyikan
kekecewaan apabila pasukan kendaliannya terpaksa beraksi dengan 10
pemain gara-gara layangan kad merah ke atas Wan Zaharulnizam Wan Zakaria
pada minit ke-61 ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super di
Kota Bharu, malam kelmarin.
“Ada sesuatu yang tidak kena, ia bukan perkara normal apabila mengutip
dua kad merah dalam dua perlawanan dalam tempoh tiga hari. Ia sangat
tidak profesional kerana kami sekali lagi dipaksa bermain dengan 10
orang pemain, berdepan salah satu pasukan terbaik di negara ini seperti
Selangor.
“Pasukan ini boleh beraksi tanpa pemain atau mana-mana jurulatih sekali
pun. Sesiapa yang tidak memiliki jiwa bermain untuk Kelantan, anda
bebas untuk keluar daripada pasukan ini dengan segera,” katanya dalam
sidang media sejurus perlawanan itu.
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV itu, Kelantan diaibkan
kekalahan terburuk 2-5 kepada Selangor sambil Wan Zaharulnizam menjadi
pemain kedua mengutip kad merah selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dibuang
padang di Shah Alam, minggu lalu.
Gol kemenangan The Red Giants disumbangkan Hafiz Kamal pada minit
ke-16, R Gopinathan (m-21), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (m-36), Mohd
Razman Roslan (m-49) dan Ahmad Hazwan Bakri (m-88) manakala jaringan
sagu hati tuan rumah menerusi Blazhe Ilijoski (m-10) dan Dramane Troare
(m-59).
Jurulatih berusia 40 tahun itu menyifatkan layangan kad merah itu
tidak memberi apa-apa makna dan dia sendiri tidak faham bagaimana
perkara seperti itu boleh berulang ketika pasukannya tampil dengan
semangat juang tinggi menyaingi kehebatan skuad bimbingan Zainal Abidin
Hassan dalam pertemuan tersebut.
“Di Eropah, apabila perkara seperti ini berlaku, saya tidak
teragak-agak potong gaji (pemain). Setiap pemain harus faham, tiada
sesiapa yang lebih besar dalam pasukan ini kerana pasukan ini sebenarnya
lebih besar daripada mereka.
“Sudah tentu saya akan mengambil tindakan kerana pasukan ini menderita
akibat dua kad merah itu sedangkan kami beraksi lebih baik dan mampu
menewaskan Selangor dalam dua perlawanan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Popov mengambil tanggungjawab sepenuhnya kekalahan
memalukan itu sambil memohon maaf kepada semua penyokong mereka yang
sentiasa memberikan sokongan padu sehingga ke wisel penamat.
“Ia sebahagian daripada perlawanan, ada menang, ada seri dan ada kalah.
Saya tidak suka berdrama kerana ini adalah asam garam dalam bola sepak.
Anda kena tahu dalam bola sepak ada peraturannya, apabila menang,
pujian kepada pemain tetapi bila kalah jurulatih yang kena
bertanggungjawab,” katanya.
--- SINAR HARIAN