Showing posts with label Daniel Fadly Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Daniel Fadly Abdullah. Show all posts

Friday, October 28, 2011

KAFA kekal 15 pemain muka lama

Oleh Ismail Muhamad
2011/10/27
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengekalkan 15 pemain utama musim ini termasuk penyerang kebangsaan, Norshahrul Idhlan Talaha dan penjaga gol skuad negara dan Olimpik, Khairul Fahmi Che Mat bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa yang mengumumkan perkara itu berkata, 10 pemain lain digugurkan manakala lima pemain skuad Piala Presiden termasuk dua muka baru diserapkan dalam skuad utama negeri.

Selain Khairul Fahmi dan Norshahrul, penjaga gol kedua Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak, Mohamad Ab Aziz Ismail, Muhd Badhri Radzi, Shakir Shaari, S Chanturu, Nurul Azwan Roya, Mohd Ramzul Zahini Adenan dan Mohd Nizab Ayub dikekalkan.

Pemain yang digugurkan adalah penjaga gol ketiga dan keempat, Norhadi Ubaidillah dan Mohd Halim Napi, Wan Rohaimi Wan Ismail, Khairan Eruan Razali, Wan Zaman Wan Mustapha, Khairan Eroza Razali, Solehin Kanasian Abdullah, Daniel Fadzly Abdullah, Zul Yusri Che Harun dan Khalid Jamlus.

“Lima pemain skuad Piala Presiden yang ‘naik pangkat’ adalah Mohd Izuan Solahuddin, Khairul Izuan Rosli, Mohd Aris Zaidi dan dua muka baru, Mohd Zamri Ramli dan Nik Shahrul Azim Abd Halim,” kata Annuar pada sidang media di Kota Bharu, kelmarin.

Selain 19 nama skuad Red Warrior musim depan itu, KAFA masih mencari lima pemain tempatan bagi mengisi kekosongan posisi tengah, penyerang dan penjaga gol, selain tiga pemain import untuk melengkapkan keseluruhan skuad.

Daripada lima pemain itu, empat kini dalam peringkat perbincangan terakhir tetapi nama mereka belum boleh diumumkan manakala pengambilan tiga pemain import diserahkan kepada Ketua Jurulatih baru, Peter James Butler.

“Saya tidak campur tangan dalam urusan pemilihan pemain kerana ia diserahkan kepada Butler untuk menilai setiap pemain import yang diuji sebelum memutuskan nama mereka penghujung bulan ini,” kata Annuar.
 
--- Berita Harian

Friday, December 3, 2010

Khalid Jamlus kembali bersama Red Warriors

ARKIB : 02/12/2010



KOTA BHARU - Juara Piala Malaysia, Kelantan mengambil langkah berani apabila menyenaraikan tiga 'orang lama' sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2011 yang akan bermula pertengahan tahun depan.

Tiga 'muka lama' tersebut ialah Wan Rohaimi Wan Ismail, Daniel Fadly Abdullah dan bekas penyerang sensasi The Red Warriors musim 2009, Mohd. Khalid Jamlus.

Kemasukan ketiga-tiga pemain tersebut menjadikan enam muka baru yang dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan Kelantan selepas K. Soley, Muhamad Abdul Aziz Ismail dan Nurul Azuan Roya.

Kemasukan Khalid dan dua lagi rakannya itu disahkan sendiri oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam yang memberitahu mereka akan mengisi kekosongan sekiranya ada pemain berhijrah.

"Khidmat ketiga-tiga pemain ini masih lagi boleh digunakan, mereka ada banyak pengalaman dan dua daripada mereka pernah bersama saya ketika mewakili negara.

"Khalid seorang pemain penyerang yang hebat terutama dalam kotak penalti, begitu juga dengan Daniel Fadli yang masih lagi mampu merencanakan barisan tengah Kelantan termasuklah Wan Rohaimi untuk memantapkan lagi barisan pertahanan," ujarnya.

Sathianathan berkata, dengan gabungan pemain sedia ada ditambah pemain baru, beliau yakin mereka mampu memberikan sesuatu buat The Red Warriors untuk musim hadapan sekurang-kurangnya mengulangi apa yang telah dilakukan pada musim lalu.

Ditanya sama ada tindakan tersebut bakal menerima kritikan daripada peminat, Sathiatahan memberitahu beliau sedia berhadapan dengan situasi tersebut.

"Keadaan ini hampir sama apabila Akmal Rizal dan Hairuddin untuk beraksi bersama Kelantan musim lalu. Ramai yang kata mereka dah tak boleh main. Tetapi akhirnya mereka telah buktikan sesuatu dan kita mampu menjadi juara, begitu juga dengan situasi ini," ujarnya.

Tambahnya, beliau menganggap ia sebagai cabaran untuk melakukan yang terbaik pada saingan musim hadapan.

"Bagi saya usia bukanlah penghalang, apa yang peting ketiga-tiga pemain ini perlu bekerja lebih keras dan memberikan tumpuan penuh pada sesi latihan," tegasnya.

Dalam pada itu, Sathianathan memberitahu dia masih lagi menunggu kehadiran tiga tunggak yang membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia iaitu Kapten pasukan, Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose.

"Sehingga hari ini, saya masih lagi belum merima apa-apa maklumat tentang ketiga-tiga pemain ini dan mereka masih lagi belum menjalani latihan bersama Kelantan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz2DfNuhAKV
© Utusan Melayu (M) Bhd