Showing posts with label Liga Super 2017. Show all posts
Showing posts with label Liga Super 2017. Show all posts

Saturday, May 20, 2017

Abou Bakr ganti Ghaddar

Mohamad Zulhairie Manzaidi
sukan@hmetro.com.my




PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan mengikat pemain kebangsaan Lubnan, Abou Bakr Al Mel bagi mengisi kekosongan ditinggalkan import terdahulu, Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, Abou Bakr atau diberi nama gelaran Bako melengkapkan kuota pemain import Asia pasukan The Red Warriors (TRW) dan kontraknya berakhir 2018.

"Bako baharu berusia 24 tahun, merupakan rakan senegara Ghaddar dan pernah bersama skuad kebangsaan Lubnan.

"Dia juga adalah pemain kelab Tripoli FC dan pemenang kasut emas Divisyen Satu Lubnan.

"Keputusan membawa Bako juga dibuat lebih awal, bukan selepas Ghaddar menyuarakan hasrat untuk meninggalkan pasukan," katanya ketika sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, KAFA kini sedang menyelesaikan urusan dokumentasi dan pendaftaran Bako, malah pemain itu dijangka tampil dengan aksi sulung ketika perlawanan menentang Pulau Pinang, Khamis depan.

Ketika diminta mengulas nasib seorang lagi pemain import TRW, Alessandro Celin, Annuar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Yang Celin, itu saya tiada komen dan kita akan tunggu perkembangan selanjutnya selepas ini," katanya.

Pada Selasa, Naib Presiden KAFA Datuk Muhammad Nasir Hamzah mendedahkan Ghaddar sudah tidak lagi mempunyai hati untuk bermain bersama Kelantan selepas tertarik dengan tawaran lumayan dari Johor DT.

Beliau tidak menafikan tawaran perpindahan bekas ayam tambatannya itu adalah lumayan, namun enggan mendedahkan jumlahnya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 4:22 PM

--- HARIAN METRO

Wednesday, May 10, 2017

Ghaddar 'The Gladiator'


Azlan Hafeedz
sukan@hmetro.com.my



Kota Bharu: Penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar kini digelar ‘The Gladiator’ selepas muncul sebagai penjaring hatrik dalam tempoh 180 minit atau purata 30 minit satu gol menerusi dua perlawanan.

Gelaran itu diberi peminat bola sepak menerusi laman sosial Facebook selepas kehebatan pemain dari Lubnan itu menjaringkan hatrik ke atas Perak dan T-Team dalam tempoh kurang 72 jam.

Bahkan, Ghaddar turut muncul pemain pertama Kelantan menjaringkan gol di laman sendiri musim ini, selepas pasukan itu ‘kemarau’ gol ketika menentang Kedah, Melaka dan Selangor bulan lalu.

Ekoran kejayaan Ghaddar meledak sembilan gol dalam empat daripada tujuh perlawanan Liga Super musim ini, pemain itu kini mendahului carta saingan kasut emas Liga Super 2017.

Dia diikuti rapat import berbisa Pahang, Matheus Alves dan Ken Ilso dari Kedah dengan masing-masing menjaringkan lapan dan lima gol setakat ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 8:36 AM


--- HARIAN METRO

Thursday, January 12, 2017

Ghaddar kembali?


Azlan Hafeedz
sukan@hmetro.com.my




Kota Bharu: Semakin jelas isyarat apabila penaja utama Tan Sri Annuar Musa mula memberi bayangan kuota keempat import Kelantan bakal diisi oleh bekas pemain yang pernah menempa nama bersama pasukan itu tiga tahun lalu.

Bayangan itu diberikan Annuar menerusi laman entrinya di Facebook yang membuktikan beliau sedia membawa kembali penyerang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar, 33, bagi mengisi kuota pemain Asia.

Annuar ketika dipetik berkata, beliau meminta ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mengkaji formasi sekiranya Ghaddar digandingkan di barisan depan bersama penyerang muda import terbaharu berusia 23 tahun dari Nigeria.

Menurutnya, selain itu, Zahasmi juga mempunyai pilihan untuk menggandingkan Ghaddar dengan Nor Farhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin.

“Piya (Badhri Radzi) dan Morgaro Gomis atau pemain lain mengawal alik (bahagian) belakang. Rak (Mampukah) pitah (memintas) anak rima (harimau), kalau mampu kita gomo (lawan).

“Yang pasti, saya sudah ‘gobek gadai’ (bergolok gadai) untuk bayar yuran drama (bayaran perpindahan pemain import) bagi memastikan Kelantan dapat melangkah lebih jauh,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, dua import Afrika Selatan, bekas penyerang kebangsaan B-21 Nigeria, Okiki Afolabi, 23, dan bekas pertahanan Piala Dunia 2014 Cameroon, Cedric Djeugoue, 24, akan menyarung jersi Kelantan musim ini.

Ghaddar pernah beraksi bersama Kelantan pada 2012 dan 2014, selain pernah bermain dengan FELDA United pada 2013.

Beliau juga antara pemain digemari majoriti peminat TRW serta pernah mencipta sejarah bersama pasukan itu pada 2012 apabila menjulang tiga piala termasuk Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.

Ketiga-tiga pemain import itu akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Blazhe Ilijoski, Jonathan McKain dan Wander Luiz yang ditamatkan kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:29 AM


--- HARIAN METRO