Tuesday, February 20, 2007

Kelantan, ATM kongsi mata

19/02/2007

SELAYANG – Kelantan meraih mata sulung dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia apabila seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Selayang, semalam.

Gol penyamaan Kelantan menerusi Gustavo Romero pada minit ke-30 menafikan hasrat ATM untuk mencipta kemenangan sulung sekalipun mendahului menerusi Rosfizam Osman lima minit sebelum itu.

Dengan keputusan seri itu, ATM kekal di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Melaka dan Terengganu dengan dua mata manakala Kelantan di tempat kedua tercorot daripada enam pasukan.

Pada perlawanan yang hanya disaksikan lebih 300 penonton itu, kedua-dua pasukan bermula hambar.

Tentera bagaimanapun lebih dulu membuka jaringan pada minit ke-25 apabila Rosfizam mudah merembat ke gawang gara-gara kelalaian benteng Kelantan mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Namun, kegembiraan ATM tidak lama apabila pasukan pelawat mudah menyamakan kedudukan.

Menerusi hantaran lintang yang laju dari sebelah kiri oleh Carlos Patricio, Gustavo Romero mudah menanduk masuk dari jarak dekat tanpa langsung dicabar.

Kedudukan terikat 1-1 biar pun dalam satu set piece sepakan percuma, Kelantan nyaris mendahului tetapi dinafikan penjaga gol dan ketua pasukan ATM, Rahman Baba.

--- UTUSAN MALAYSIA