Sunday, September 30, 2012

Kelantan perit sebelum menang

PEMAIN Felda United, Eddy Viato (kiri) diasak pemain Kelantan, Mohd. Afiq Azmi dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat Melaka, malam tadi Kelantan menang 2-1. - MINGGUAN/GAIE UCHEL
MELAKA - Kelantan menebus kekecewaan pada suku akhir Piala AFC kepada pasukan Arbil FC dari Iraq apabila membenam Felda United 2-1 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, semalam.

Dua jaringan Mohd. Nurul Azwan pada minit ke-57 dan tolakan mudah Indra Putra Mahyuddin di minit ke-75 menjadi bekalan terbaik buat Kelantan menanti lawan pada saingan kedua di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Selasa ini.

Gol tunggal Felda United dijaringkan pemainnya Khairan Ezuan pada minit ke-78.

Saingan bermula dengan asakan bertali arus kedua-dua pasukan cuba memburu jaringan awal, namun segalanya tidak menjadi.

Seawal babak pertama jentera serangan Kelantan menerusi gandingan Mohd. Afiq Azmi dan Norhsharul Idlan tampak tidak bermaya dan gagal menembusi benteng pertahanan Felda.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-27 apabila sepakan jauh S. Sivanesan dari jarak 25 meter sekadar mengenai palang gol.

Kelantan cuba bangkit dan menggandakan asakan pada minit ke-38 dengan peluang hadir untuk memecah kebuntuan jaringan.

Namun, kelewatan Mohd. Afiq Azmi melakukan sepakan di hadapan pintu gol Felda United apabila pemain pertahanan lawan tangkas menyepak bola keluar.

Sebaik 12 minit babak kedua berlangsung, Kelantan memecah kebuntuan jaringan gol pada minit ke-57 menerusi sepakan kaki kiri Mohd. Nurul Azwan menewaskan penjaga gol Felda United, Mohd. Suffian.

Gol berpunca daripada hantaran cantik Norsharul Idlan kepada gantian Mahmoud Ghadar yang membuat percubaan ditampan penjaga gol Felda United.

Bola lantunan itu disambar Mohd. Nurul Azwan sambil berlari melepaskan sepakan lencong kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol tuan rumah.

Gol kedua Red Warriors hadir menerusi tolakan mudah Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-75 gara-gara kesilapan antara penjaga gol Felda United dan pemain importnya, Eddy Viator.

Kesilapan Viator yang menjangkakan Mohd. Suffian cuba menolak bola keluar, sebaliknya bola itu melantun di depan pintu gol yang ternganga dan ia mudah disambar Indra Putra untuk menolak masuk.

Bagaimanapun, tiga minit selepas jaringan kedua Kelantan, tuan rumah merapatkan jurang apabila meledakkan jaringan menerusi Khairan Ezuan.

--- UTUSAN MALAYSIA