KUALA LUMPUR - 'Jaringan paling manis dan amat
berharga'. Itu kata wira Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia
di Stadium Shah Alam kelmarin, Indra Putra Mahayuddin apabila
jaringannya pada masa tambahan memastikan Red Warriors menjulang trofi
ketiga musim ini.
Menurut Indra Putra, jaringan yang dihasilkan ketika masa tambahan
setelah Kelantan dan ATM terikat 2-2, merupakan jaringan yang
mencetuskan semangat juang sebenar Kelantan.
"Jaringan itu membuktikan kami bangkit selepas diikat ATM. Jaringan
itu adalah hasil semangat juang pemain Kelantan yang tidak pernah
luntur.
"Apa yang boleh saya katakan, kemenangan Kelantan didorong faktor
tidak pernah berputus asa walaupun ATM dua kali bangkit menyamakan
kedudukan," katanya.
Kelantan mencipta sejarah menjulang kejuaraan treble musim ini selepas Liga Super dan Piala FA apabila menewaskan ATM pada perlawanan akhir, kelmarin.
Red Warriors cemas sebelum mengesahkan kejuaraan apabila ATM bangkit menyamakan kedudukan 2-2 dalam 90 minit permainan.
Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo meletakan Kelantan mendahului
pada minit ke-44 namun Rezal Zambery Yahya menyamakan kedudukan buat ATM
pada minit ke-49.
Selang seminit kemudian, Norshahrul sekali lagi memastikan Kelantan
mendahului perlawanan namun ATM enggan menyerah kalah terlalu awal
apabila Marlon Alex James kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-62 .