Sunday, October 21, 2012

Indra Putra julang Kelantan

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
INDRA PUTRA mengesahkan kemenangan Kelantan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-96 di Stadium Shah Alam malam tadi.


KELANTAN melabuhkan tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan penuh bergaya apabila mengungguli gelaran trebel pada musim ini.

Skuad The Red Warriors merangkul trofi ketiga selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kelantan membuka jaringan menerusi penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-44 tetapi ATM berjaya mengikat kedudukan menerusi gol Rezal Zambery Yahya pada minit ke-48.

Selang dua minit kemudian, Norshahrul kembali menggandakan kedudukan tetapi penyerang import ATM, Marlon Alex James kembali menyamakan kedudukan apabila menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-62.

Perancang skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin muncul sebagai wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-96, sekali gus melengkapkan koleksi trofi Liga-M dengan menjuarai Liga Super serta Piala FA pada musim ini.

Beraksi pada separuh masa pertama di hadapan kira-kira 90,000 penyokong, Kelantan hampir berjaya untuk membuka jaringan menerusi tandukan penyerang pinjaman, Muhammad Afiq Azmi yang bijak memanfaatkan hantaran pemain pertahanan kiri The Red Warriors, Mohd. Daudsu Jamaluddin.

Bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol ATM, Farizal Harun pada minit kelima.

Kelantan yang terus menggandakan asakan dalam usaha untuk mendahului perlawanan apabila Norshahrul berjaya melepasi dua pertahanan ATM namun tendangan lemah itu masih gagal untuk menembusi gawang pasukan yang dikenali dengan nama jolokan The Gladiators pada minit ke-12.

Begitupun, pemain kelahiran Terengganu itu meletakkan juara Liga Super itu di depan dengan menjaringkan gol menerusi tendangan leret yang gagal didakap kemas oleh Farizal, sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal di babak pertama perlawanan.

Bersambung di babak kedua, ATM kembali mengatur serangan dalam misi dalam usaha untuk mengikat keputusan perlawanan namun kehebatan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi berjaya mengagalkan setiap percubaan The Gladiators.

ATM akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rezal Zambery.

Begitupun, jaringan bekas pemain Negeri Sembilan itu sekadar bertahan seminit apabila Norshahrul kembali meletakkan The Red Warriors di depan dengan menewaskan Farizal untuk kali kedua menerusi rembatan leret yang kencang.

The Gladiators kembali mengasak benteng pertahanan Kelantan daan hasilnya, skuad kendalian B. Sathianathan menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang import, Marlon.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Kelantan kembali mempamerkan corak agresif namun benteng pertahanan ATM berjaya mengekang asakan Norshahrul, Indra Putra dan Mohd. Badri Mohd. Radzi, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas terikat 2-2 dalam tempoh 90 minit.

Sementara itu, Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan menjadi milik Norshahrul manakala Penjaring Terbanyak diraih Marlon.