Sunday, October 7, 2012

Nik idam barisi kesebelasan utama Red Warriors

Oleh Ismail Muhamad
sukan@hmetro.com.my

PEMAIN pertahanan Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim mengimpikan aksi pertama dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia apabila Red Warriors menanti kunjungan Selangor di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, malam ini.
Pemain dari Cabang Empat Salam, Rantau Panjang yang membantu skuad Piala Presiden Kelantan muncul juara musim lalu itu berharap tersenarai dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan.

“Saya tidak ada pengalaman beraksi saingan separuh akhir Piala Malaysia dan ia satu peluang kepada saya untuk berdepan pasukan hebat seperti Selangor.
“Sekiranya disenaraikan dalam kesebelasan utama, saya akan bermain sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan jurulatih. Lagipun saya memang idamkan beraksi dalam saingan Piala Malaysia,” katanya yang optimis Kelantan mampu mengekang cabaran Selangor.

Pemain berusia 22 tahun itu mengaku perlawanan Kelantan dan Selangor menjadi perhatian umum kerana kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri, malah ia membuka peluang buat mereka membalas dendam kekalahan kepada lawan dalam saingan Liga Super musim ini.

Sambil mengharapkan kemenangan dapat direalisasikan di depan penonton sendiri, Nik Shahrul Azim mahu rakan sepasukan tidak memberi ruang kepada pemain lawan bergerak bebas sehingga boleh merobek gawang Kelantan.
“Selangor bukan lawan mudah apatah lagi mereka menunjukkan kebangkitan mendadak dalam saingan Piala Malaysia untuk mara ke separuh akhir.

“Peluang beraksi di gelanggang sendiri harus diambil kesempatan untuk mencari bekalan gol sebelum aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di tempat lawan pada 12 Oktober.” Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim mengingatkan anak buah Bojan Hodak lebih berhati-hati ketika berdepan Selangor yang lebih gemar mempamerkan corak agresif ke atas lawan.
Bagaimanapun, katanya, pengalaman beraksi menentang Selangor pada saingan Liga Super musim ini banyak membantu persediaan barisan pemain Kelantan untuk mengekang asakan daripada pasukan lawan itu nanti.

“Kami tidak harus mengulangi kesilapan sebaliknya memberi tumpuan penuh demi menutup hasrat Selangor mengejutkan Kelantan di Kota Bharu. “Saya harap pemain Kelantan sudah sedia fizikal dan mental bagi menggalas cabaran dengan semangat juang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06 

--- HARIAN METRO