Sunday, November 25, 2012

Barisan TRW semakin lengkap

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
24 November 2012
Kelantan FA
Kelantan FA
 
JUARA treble, Kelantan hampir melengkapkan senarai barisan 25 pemain terbaiknya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim depan. Pengumuman Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pada majlis perarakan tiga piala di Kota Bharu, Selasa lalu ternyata mengejutkan penyokong setia mereka.

Dua nama besar iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammad Ghaddar tercicir daripada perancangan The Red Warriors.

Status Norshahrul Idlan ketika ini masih menjadi tanda tanya manakala kedudukan Mohammad Ghaddar pula bakal ditentukan oleh pihak Kafa tidak lama lagi.

IKAT

Pada masa sama, Kelantan secara rasmi turut mengikat dua tonggak pasukan berstatus kelab iaitu T-Team, Zairo Annuar Zailani dan Mohd Faiz Subri untuk mengimbangi kekuatan mereka setelah kehilangan Mohd Nurul Azwan Roya ke Johor dan S Chanturu (Perak).

Lebih mengejutkan, kehadiran tonggak pertahanan Perak, K Nanthakumar yang digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebelum ini turut menarik perhatian.

Jelas, khidmat pemain berusia 36 tahun itu amat ditagih bagi memperkuatkan benteng pertahanan Kelantan setelah kehilangan S Subramaniam yang berehat panjang hingga pertengahan musim depan.

GANDING

Dalam pada itu, Kelantan sekali lagi mencetuskan kejutan apabila mengikat bekas penyerang T-Team dan Johor FC, Mohd Haris Safwan Md Kamal bagi memperkukuhkan jentera serangan untuk digandingkan dengan Mohd Norfarhan Muhammad.

Selebihnya, pasukan bimbingan Bojan Hodak itu masih mengekalkan barisan pemain yang sama pada musim lalu.

Cuma dua pemain Piala Presiden iaitu Mohd Aris Zaidi dan Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin dinaiktaraf beraksi bersama skuad junior pada musim depan.

--- SINAR HARIAN