Saturday, November 24, 2012

Nurul Azwan harap kembali ke Kelantan





23 November 2012
PASIR PUTEH - Bekas pemain 'The Red Warriors', Nurul Azwan Roya berkata, penyertaannya dalam pasukan Johor FC musim depan tidak akan menutup hasratnya kembali semula beraksi bersama Kelantan pada musim akan datang.

Nurul Azwan, 26, berkata, beliau hanya menandatangani kontrak selama setahun sahaja dengan pasukan Johor itu.

"Semua bergantung kepada rezeki dan ketentuan. Mungkin saya kembali beraksi bersama Kelantan pada 2014, sekiranya ada peluang lagi," katanya kepada pemberita pada kenduri kesyukuran sempena perkahwinannya dengan Siti Nurul Jannah Mohd Noor, 24, di rumahnya di Kampung Cherang Ruku, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Nurul Azwan berkata, beliau tidak menghadapi masalah dengan pihak pengurusan dan rakan sepasukan sepanjang dua tahun bersama skuad Kelantan.

"Jangan salah tafsir dengan ulasan yang bukan-bukan disebabkan ketiadaan dalam kesebelasan pemain utama Kelantan pada musim hadapan. Ia adalah pilihan dan laluan saya sendiri untuk menentukannya," katanya.

Nurul Azwan yang gembira dapat membantu Kelantan menjulang kemenangan pelbagai liga berprestij, turut berterima kasih kepada pengurusan KAFA dan penyokong kerana membuatnya terus bertahan dalam arena bola sepak tanah air.

Pemain itu adalah anak kedua daripada empat beradik keluarga bekas jurulatih bola sepak 8 Briged Rejimen Askar Melayu Di Raja (RAMD) di Kelantan, Roya Midin. - Bernama

--- SINAR HARIAN