Wednesday, November 7, 2012

Daudsu pilih The Red Warriors

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
6 November 2012
 Mohd Daudsu Jamaludin
Mohd Daudsu (kanan) menamatkan keresahan penyokong setia The Red Warriors dengan memilih terus beraksi bersama Kelantan semusim lagi.
 
KEUTAMAAN keluarga menjadi faktor utama tonggak pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin memilih kekal beraksi bersama The Red Warriors bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Meski pun mengakui menerima tawaran lumayan pasukan Johor, Mohd Daudsu bagaimana pun akhirnya memilih  terus menabur bakti bersama pasukan negeri kelahirannya bagi tempoh semusim lagi.

“Setelah berfikir semasak-masaknya, akhirnya buat keputusan kekal bersama Kelantan. Mungkin wang amat penting dalam kehidupan, tetapi keluarga saya adalah segala-galanya ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Cukuplah dengan apa yang saya ada. Kalau hendak kejar kemewahan mungkin saya boleh berhijrah ke Johor tetapi saya fikir rezeki sentiasa ada di mana-mana. Jadi keputusan untuk kekal di sini pasti dapat menggembirakan, terutama penyokong Kelantan.

Keputusan tersebut sekali gus menamatkan keresahan penyokong setia The Red Warriors yang seakan tidak merelakan pemergian pemain kesayangan mereka itu beraksi dengan pasukan lain pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Sebelum ini, Mohd Daudsu serta dua lagi pemain iaitu Mohd Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha ditawarkan gaji lumayan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) jika memilih untuk menyarung jersi Harimau Selatan pada musim depan.

Menurut Mohd Daudsu, beliau turut mengambil kira faktor persekitaran seperti sokongan peminat tempatan yang tidak jemu-jemu memberi dorongan kepada beliau setelah kembali menyarung jersi negeri ini sejak tiga tahun lalu. 

Pemain pertahanan berusia 27 tahun itu mengembangkan kerjayanya dalam sukan bola sepak dengan mewakili TNB Kelantan pada musim 2003 hingga 2004, Johor FC (2005 hingga 2008) sebelum kembali menyarung jersi Kelantan pada tahun 2009 hingga sekarang.

--- SINAR HARIAN