Thursday, November 8, 2012

Awe: Hijrah ke Johor pilihan terbaik

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
7 November 2012
Nurul Azwan Roya
Penyerang Kelantan, Nurul Azwan Roya
 
PENYERANG Kelantan, Nurul Azwan Roya mengesahkan bahawa beliau akan menyarung jersi Johor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Azwan atau dikenali sebagi Awe menyifatkan keputusan itu adalah yang terbaik untuk masa depannya.

“Saya masih tunggu kontrak bersama Kelantan yang bakal berakhir 30 November ini sebelum tandatangani kontrak bersama Johor,” katanya.

Selain Awe, pasukan Johor yang dahulu dikenali sebagai Johor FC pasti hampir mendapat khidmat tiga pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu pasangan kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul  Radzak serta Mohd Azmi Muslim, bekas pemain Terengganu, Mohd Muslim Ahmad dan pemain Selangor, Safiq Rahim.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah beliau tidak menyesal meninggalkan Kelantan, Awe bagaimanapun menganggap tindakan dilakukannya betul.

“Tiada apa yang perlu dikesalkan. Mana-mana pasukan boleh menjadi hebat sekiranya diuruskan dengan baik. Saya yakin Johor mampu menyerlah musim depan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Awe turut menjelaskan faktor berpindah ke Johor adalah untuk beralih angin selepas bersama Kelantan sejak 2011.

“Seperti pemain lain, saya juga ingin beralih angin untuk mencari pengalaman berguna selaku pemain bola sepak. Beraksi untuk Johor seterusnya ke Kelantan dan sekarang di Johor memberikan saya pelbagai peluang untuk belajar,” katanya yang menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala buat pasukan Johor.


--- SINAR HARIAN