Saturday, December 29, 2012

Nasib Pertratos, Mandjou hari ini

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
29 Disember 2012
Mandjou
Aksi Mandjou ketika menentang Kedah.
Petratos
Petratos semakin serasi bersama rakan sepasukan.
 
HARI INI menjadi detik yang ditunggu-tunggu oleh penyokong setia The Red Warriors. Bukan kerana keghairahan menantikan sepak mula Liga Malaysia yang bermula 5 Januari nanti, tetapi yang penting mengetahui siapa yang menjadi penggembur terbaharu Kelantan.

Ketika nama Mohamad Ghaddar, penjaring terbanyak dan watak penting yang membawa Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu kian dilupakan, nama Dimitrios Pertratos dan Keita Mandjou pula meniti di bibir dalam kalangan peminat tempatan.


GEMAR

Tumpuan kini terarah kepada Pengurus merangkap Ketua Jurulatih, Bojan Hodak yang lebih gemar mengambil pendekatan berdiam diri dalam memilih pemain penyerang import terbaharu Kelantan.

Setelah Obinna Nwaneri sah kekal beraksi dalam kancah Liga Malaysia musim depan, pengendali dari Croatia itu memilih mencari ilham calon pemain import TRW itu dengan membawa anak buahnya menjalani latihan pra musim di Pulau Pinang ketika ini.

Sama ada Hodak memilih Pertratos atau Mandjou, ia akan ditentukan apabila tarikh tutup pendaftaran pemain import berakhir hari ini setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kelonggaran kepada juara treble itu atas kapasiti beraksi pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.


TARING

Penyerang muda Sydney FC ini semakin serasi dengan corak permainan pasukan Kelantan.

Enam gol daripada lima perlawanan persahabatan setakat ini membuktikan sentuhan beliau cukup berbisa ketika Kelantan menangisi ketiadaan Mohamad Ghaddar.

Pertratos, hadir ke Kelantan dengan reputasi unggul selaku penyerang bawah 23 tahun Australia dan keputusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengikat kontrak selama setahun dianggap keputusan yang tepat.

Dia muda, bertenaga dan mempunyai kemahiran individu yang tinggi dan pakej tersebut ternyata memukau penyokong setia ketika pemain yang berusia 20 tahun ini turun beraksi buat pertama kali ketika Kelantan membelasah Perlis 5-0 baru-baru ini.


PERSIS

Jangan anggap kehadiran Keita Madjou sekadar pelengkap kepada Kelantan. Bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Super Malaysia (MSL) musim 2005/06 dan 2006/07 semakin menemui sentuhan pembunuhnya setelah hampir tujuh bulan berada di Kota Bharu.

Meski pun dianggap kuda tua oleh segelintir penyokong, rentetan usianya mencecah 34 tahun, namun kegarangan Mandjou sejak akhir-akhir ini membuktikan kehebatan beliau setanding penyerang berbisa ATM, Marlon Alex James.

Jelas Mandjou mempunyai nafsu yang cukup besar untuk membantu Kelantan dalam saingan Liga Malaysia 2013, apatah lagi dia juga turut membuktikan sentuhan ‘berkaratnya’ sudah hilang apabila meledak empat gol dalam lima perlawanan setakat ini.


NANTI

Namun sebarang keputusan yang bakal dibuat Kafa mengenai pemilihan pemain import untuk saingan 2013 sudah tentunya bakal memberikan impak kepada barisan pemain sedia ada yang terbukti kehebatan menggegarkan jaring lawan.

--- SINAR HARIAN