Thursday, July 4, 2013

Yob lepaskan banyak peluang


Yob lepaskan banyak peluang
Mohd Azraai
 
PERAK diakui berdepan detik sukar menentang The Red Warriors (TRW) yang masih segar dengan kejayaan menjulang piala FA dalam perlawanan ke-21 Liga Super 2013 di Stadium Perak, kelmarin, lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.

Namun Ketua Jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah tetap berpuas hati dengan prestasi semasa anak didiknya walaupun tewas tipis 0-1 kepada skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Mengulas kembali perlawanan kelmarin, Azraai turut mengakui kesebelasan Perak banyak mendapat peluang di hadapan gol Kelantan, namun disia-siakan.

"Jika diperhatikan secara menyeluruh, kita memang menguasai hampir keseluruhan perlawanan. Tetapi perlu kita akui bukan mudah untuk berdepan dengan pasukan yang baru menjulang Piala FA seperti Kelantan.

"Kita banyak sia-siakan peluang menjaringkan gol dan inilah akibatnya bila kita bertemu pasukan handalan seperti Kelantan. Bila kita gagal jaringkan gol, mereka (pelawat) yang akan berjaya jaringkan gol," katanya ketika mengulas keseluruhan perlawanan kelmarin.

Dalam pada itu, Azraai tetap menganggap semua pemain Perak yang diturunkan menentang TRW kelmarin telah beraksi cemerlang di sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Katanya, pemain-pemain Perak telah hampir-hampir menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan, namun kecekapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menyelamatkan gawang pasukan pelawat.
 
--- SINAR HARIAN