Mohd Azraai Khor Abdullah
Mohd Azraai Khor Abdullah
 
PENGENDALI Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah menggesa anak didiknya supaya lebih berwaspada ketika menerima kunjungan juara Piala FA, Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Ipoh, malam ini.

Ini kerana pasukan kendalian Bojan Hodak itu memiliki barisan pemain yang boleh menguasai permainan di semua bahagian.

“Lihat sahaja pada final Piala FA lalu, setiap bahagian dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Inilah pasukan Kelantan dan kami akan berdepan mereka hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, beliau akan menurunkan barisan terbaik skuad Seladang dalam pertemuan yang dinantikan oleh semua penyokong bola sepak Perak.

“Kami bersedia sepenuhnya dan yang paling penting, kami tidak mahu kehilangan mata berharga terutama ketika bermain di halaman sendiri,” katanya.

Azraai berkata, beliau tetap optimis Perak mampu menjadi lima pasukan terbaik Liga Super.

“Kelantan juga mahu berada dalam kelompok lima terbaik tetapi sejak awal musim, saya menyasarkan kedudukan tersebut dan saya yakin kita mampu melakukannya,” katanya.

Dalam pertemuan sebelum ini di Kota Bharu, Kelantan berjaya mengikat Perak dengan keputusan, 1-1.

Perak selepas ini akan bertemu lawan terakhir, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu ini.

--- SINAR HARIAN