PENYERANG import baharu The Red Warriors (TRW), Erwin Carrillo memasang impian mahu meraih gelaran pemenang Kasut Emas saingan Liga Super musim ini, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Carrillo berkata, dia berazam memburu cita-cita tersebut biarpun sedar bakal bersaing hebat dengan ramai pemain import lain terutama pemenang Kasut Emas musim lalu, Paulo Rangel.

Carrillo yang hadir dengan reputasi selaku penjaring terbanyak Liga Primera B musim lalu turut memberi amaran, dia kini cukup bersedia membuktikan pelaburan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendapatkan khidmatnya adalah satu langkah yang tepat.

“Saya bukan mahu membangga diri, saya datang ke sini (Kota Bharu) dengan rekod cemerlang bukan sahaja penjaring terbanyak liga negara kelahiran saya (Colombia) tetapi juga pemenang Kasut Emas di Amerika Latin dengan 29 gol.

“Sudah pasti saya mahu mengekalkan anugerah itu sekali lagi meskipun ini merupakan pertama kali saya bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M),” katanya, semalam.

Menurut pemain berusia 31 tahun itu, dia begitu teruja dapat menyarung jersi Kelantan setelah diberitahu ejennya bahawa skuad Pantai Timur itu antara pasukan elit dan disegani dalam kancah liga domestik negara ini.

“Saya rasa ini merupakan satu peluang keemasan untuk saya mencipta nama di sini. Saya mahu meninggalkan nama baik selaku pemain bola sepak Colombia yang berjaya dalam Liga-M,” katanya.

Mengenai kegagalan berkomunikasi bersama rakan sepasukan di atas padang, bekas penyerang kelab Union Magdalena itu menegaskan dia sedang mempelajari bahasa Inggeris untuk mengatasi masalah tersebut.

 “Saya diberitahu oleh ejen saya, dahulu pun pemain import Kelantan (tahun 1997) dari Argentina iaitu Luiz Pozzuto, Christian Medrano dan Mario Gomez juga menghadapi masalah sama tetapi mereka masih boleh bermain di sini. Jadi, saya rasa masalah ini kecil sahaja dan tak perlulah diperbesarkan,” katanya.

--- SINAR HARIAN