FOTO : KHIRU SHALEH ABDULLAH
KELANTAN sebenarnya cukup bertuah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini kerana memiliki dua peledak berbisa yang merupakan penjaring terbanyak dalam liga bola sepak di dua negara berbeza.

Salah seorangnya, bintang import kelahiran Bafoussam, Cameroon, Emmanuel Kenmogne yang dinobatkan pemenang Kasut Emas Liga Super Indonesia (ISL) dengan 25 gol pada musim lalu.

Biarpun pembelian Kenmogne dipertikaikan, namun pemain yang terkenal dengan panggilan Pancho dalam kalangan rakan sepasukannya itu sudah membuktikan ketajamannya apabila jaringannya membantu Kelantan menewaskan Songkhla United FC 3-2 pada aksi persahabatan baru-baru ini.

HANYA BANTU KELANTAN

Bekas penyerang Persebaya Surabaya itu tampil memberitahu keputusan dia meninggalkan kelab Indonesia itu semata-mata mahu mencari angin baharu bersama Kelantan.

“Sejujurnya, saya tidak letak sasaran peribadi. Satu perkara yang saya fikirkan sekarang ialah membantu Kelantan mencapai keputusan lebih baik daripada musim lalu. Itu sahaja, soal penjaring terbanyak atau pun impian Kasut Emas biarlah letak ke tepi dahulu.

“Saya mengutamakan kejayaan pasukan kerana penyokong di sini (Kota Bharu) sudah semestinya mahu melihat perkara itu terlebih dahulu berbanding pencapaian peribadi pemain,” katanya yang turut boleh berbahasa Indonesia sedikit sahaja.

AKUI PERLU BERSAING

Pemain berusia 34 tahun itu mengakui dia perlu bersaing dengan seorang lagi penyerang import dari Colombia, Erwin Carrillo untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukannya pada musim ini.

“Saya seorang pemain profesional, tiada jaminan untuk saya berada dalam skuad George Boateng dengan mudah. Sama seperti pemain lain, saya juga kena bekerja keras dan tidak boleh berasa selesa dengan selaku status pemain import,” katanya.

Malah pemain yang memulakan karier bersama Sable FC itu turut mengakui Kelantan memiliki barisan penyerang tempatan yang hebat seperti Mohd Khairul Izuan Rosli dan Mohd Norfarhan Muhammad dan ia satu petanda positif pasukannya mampu bersaing dalam Liga-M musim ini.

--- SINAR HARIAN