KEHADIRAN semula pemain tengah Indra Putera Mahayuddin
akan memperkasakan The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia musim
depan, kata ketua jurulatih, K Devan.
Beliau berkata kehadiran pemain berusia 34 tahun yang pernah membantu
Kelantan menjadi juara treble pada 2012 bakal memberi sinar harapan
baharu buat
The Red Warriors untuk kembali menjadi salah satu pasukan gergasi bola sepak tanah air.
"Indra Putra seorang pemain yang bagus, berpengalaman serta mempunyai
pengaruh dalam bola sepak Kelantan, selain turut mempunyai keserasian
bersama pemain Kelantan sebelum ini.
"Saya sendiri meminati Indra Putra kerana beliau mempunyai kemahiran
tersendiri dan perlu dicontohi pemain muda dalam The Red Warriors,"
katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dalam
entri di laman sosial Facebooknya mengesahkan bekas pemain Felda United
itu kembali ke pangkuan Kelantan selepas menandatangani kontrak bersama
The Red Warriors semalam.
Turut berbuat demikian adalah pemain Johor Darul Ta'zim II (JDTII)
Daudsu Jamaluddin yang sebelum ini pernah mencurahkan khidmat bersama
The Red Warriors selama beberapa musim.
"Kehadiran dua pemain itu telah melengkapkan kuota pemain tempatan bagi The Red Warriors pada musim depan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, K. Devan berkata Kelantan masih belum
memutuskan empat pemain import yang akan beraksi bersama pasukan itu
pada musim depan.
Beliau berkata setakat ini lima pemain telah diuji iaitu Lee Kil Hoon
(Korea Selatan), Marwan Sayed (Syria), Christopher Omoseibi Elijah
(Nigeria) dan dua pemain yang berasal dari Ghana, Aziz Yakubu dan Paul
Acquah.
"Setakat ini, hanya Lee yang menunjukkan prestasi agak memuaskan dan
kita akan beri peluang kepadanya untuk menjalani latihan bersama
Kelantan.
"Lee juga akan beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan yang
telah diatur sebelum kita putuskan nasib beliau dalam pasukan selepas
ini," katanya. - Bernama
--- SINAR HARIAN