DRAMANE Troare semakin hampir menyertai Pamoga Qu
Puteh The Red Warriors (PQP TRW) manakala Teerasil Dangda turut diintai
oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dibawa masuk bagi
memperkuatkan pasukan itu mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M)
musim ini.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dipetik laman sosialnya semalam,
mengesahkan kedua-dua penyerang berprofil tinggi dari Mali dan Thailand
itu kini berada dalam radar Kelantan sekali gus mengakhiri kebuntuan
mereka mencari pemain import berkualiti sejak Disember lalu.
“Melihat sambutan penyokong, Kelantan dengan persetujuan jurulatih (K
Devan) mengesahkan mengemukakan tawaran untuk mengikat penjaring
terbanyak Liga Super 2015, Dramane Troare sebagai antara penggempur PQP
TRW 2016.
“Bagaimanapun, tawaran ini tertakluk sama ada dia lulus ujian perubatan
dan kecergasan yang ketat (akan dilakukan) pada minggu ini. Troare kini
dalam perjalanan ke Kota Bharu sudah pun bersetuju dengan semua terma
yang dirunding,” katanya.
Dramane, 34, bekas penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil
dengan rekod cemerlang selaku pemenang Kasut Emas Liga Super musim lalu
dengan menjaringkan 20 gol.
Menurut Annuar lagi, dua kekosongan pemain import hanya akan diputuskan
pada minggu depan tertakluk penilaian jurulatih dalam beberapa siri
perlawanan persahabatan yang sedang berlangsung ketika ini.
Dalam masa sama, Annuar mengumumkan khabar gembira apabila sedang
berusaha memburu Dangda selepas pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza
Othman menunjukkan minatnya mendapatkan penyerang sensasi Thailand,
baru-baru ini.
“Saya telah hubungi Teerasil Dangda melalui seorang ejen pemain dan
kelabnya, Muangthong United FC. Dangda masih mempunyai kontrak setahun
dengan kelabnya,” katanya.
Dangda, yang menjaringkan 33 gol dalam 70 penampilan bersama Thailand
kini beraksi selaku pemain pinjaman bersama Almeria di Liga Sepanyol dan
dijangka kembali ke pangkuan Muangthong United, pada 20 Januari ini.
Sementara itu, Dr Vida ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu beliau
sedang mengkaji status pemain berkenaan dan meminta semua penyokong
Kelantan bersabar sebelum menunggu berita menarik sebelum saingan Liga-M
bermula.
--- SINAR HARIAN