11 November 2012
BEBERAPA nama besar dikaitkan bakal memperkuatkan The Red Warriors bagi
mengharungi saingan Liga Malaysia pada musim depan jika usaha Persatuan
Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu menjadi kenyataan.
Dua pemain T-Team iaitu Zairo Annuar Zailani dan Mohd Faiz Subri serta
pemain sayap Kedah, Mohd Khyril Muhymeen Zambri merupakan tiga pemain
yang berada dalam radar Kelantan sekarang.
Menurut sumber dalaman Kafa, rundingan sedang dijalankan untuk membawa
masuk dua pemain pasukan berstatus kelab Pantai Timur itu dan Mohd
Khyril bagi menyarung jersi The Red Warriors musim depan.
“Ia sebagai usaha untuk menampung kekosongan ditinggalkan beberapa
pemain yang mengambil keputusan berhijrah mewakili pasukan lain dalam
Liga Malaysia musim depan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
“Memang nama Zairo Annuar (Zailani) dan Mohd Faiz (Subri) berada dalam
perhatian Kafa sebelum kempen Piala Malaysia berakhir baru-baru ini.
Jika menjadi kenyataan, kehadiran mereka pasti memperkukuhkan jentera
serangan pasukan ini.
Menurut sumber itu lagi, pihak Kafa ketika ini sedang meneliti status
ketiga-tiga pemain tersebut sebelum mengadakan perbincangan lebih lanjut
dengan pasukan asal masing-masing.
Juara treble itu kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Mohd Nurul
Azwan Roya yang berhijrah ke Johor, Muhammad Ramzul Zahini Adenan
(Selangor), Azlan Ismail dan S Chanturu (Perak), selain Norshahrul Idlan
Talaha yang juga dikhabarkan berminat mewakili Johor pada musim depan.
Dalam pada itu, sumber tersebut turut mengesahkan pihak Kafa juga
sedang berusaha untuk memancing Mohd Khyril Muhymeen, yang mana
kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berakhir hujung
bulan ini.
“Memang Presiden Kafa (Tan Sri Annuar Musa) ada menghubungi bapa Mohd
Khyril Muhymeen, baru-baru ini untuk bertanya khabar mengenai kedudukan
pemain tersebut dengan Kedah.
“Namun, ia masih dalam proses rundingan awal memandangkan pemain
tersebut sibuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bagi
menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki, penghujung bulan ini.
“Begitu pun setakat ini, rundingan tersebut menampakkan perkembangan
positif. Kalau Mohd Khyril Muhymeen bersetuju dengan tawaran
dikemukakan, Insya-ALLAH, mungkin dia bersama Kelantan pada musim
depan,” katanya.
--- SINAR HARIAN