Monday, December 31, 2012

Hodak rencana formasi baru

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
31 Disember 2012
$entry.content.caption.value
 
KOTA BHARU – ‘Kekal 4-3-3 ataupun ubah 4-4-2” Itu dua formasi baru yang menjadi pilihan pengendali, Bojan Hodak bagi menghadapi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam pada 5 Januari ini.

Mengakui semakin hampir mendapatkan barisan bayangan terkuat Kelantan, Hodak berkata, beliau kini hanya perlu memikirkan dua kekosongan yang perlu diisi di bahagian pertahanan dan tengah pasukannya.

“Saya kena fikir siapa yang akan digandingkan dengan Obinna Nwaneri di pertahanan tengah.

Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) dan K Nanthakumar menampilkan aksi terbaik dalam dua perlawanan persahabatan lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya hanya perlukan seorang lagi pemain di jentera tengah. Kita tengoklah nanti macam mana, mungkin saya kekal dengan formasi asal (4-3-3) atau guna percaturan baru 4-4-2 bila bertemu ATM nanti.

Menurut Hodak, kehadiran beberapa pemain seperti Zairo Anuar Zalani dan Mohd Faiz Subri daripada T-Team dan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Johor FC) turut memberikan pilihan kepada beliau dalam menentukan barisan terkuat pasukannya.

Dalam pada itu, Hodak yang turut bertindak selaku pengurus pasukan menyifatkan persiapan pra musim pasukannya berjalan dengan lancar setelah menjalani latihan di Pulau Pinang sejak seminggu lalu.

Memanfaatkan tempoh tersebut dengan mengadakan tiga perlawanan persahabatan, Hodak berkata, perancangan beliau membawa anak buahnya menjalani latihan di sana dianggap satu keputusan tepat setelah negeri ini dilanda gelombang banjir minggu lalu.

“Saya gembira dengan perkembangan pasukan ketika ini. Pemain akur dengan tanggungjawab bersama pasukan meski pun terpaksa meninggalkan keluarga mereka seketika.

“Kami menjalani latihan di atas padang yang berkualiti selain turut menjalani latihan di gelanggang futsal. Lebih penting bagi pemain meningkatkan tahap kecergasan sebelum bertemu ATM Sabtu ini,” katanya.

Juara treble menewaskan pasukan Liga FAM, Pulau Pinang 4-0 pada 24 Disember lalu sebelum seri tanpa jaringan dengan Kedah di Alor Setar, dua hari kemudian. Kelantan menamatkan persiapan pra musim mereka bertemu Sime Darby FC di Stadium Bandaraya malam tadi sebelum bertolak pulang ke Kota Bharu hari ini.

--- SINAR HARIAN