Showing posts with label Safee Sali. Show all posts
Showing posts with label Safee Sali. Show all posts

Tuesday, December 4, 2012

Kelantan lupakan khidmat Ghaddar


DIMITRIOS, pemain import baharu dalam skuad Kelantan.


SELEPAS kehilangan pemain paling bernilai, Norshahrul Idlan Talaha, Kelantan sekali lagi menerima tamparan hebat apabila penyerang import sensasi mereka dari Lebanon, Muhammad Ghaddar tidak lagi bersama pasukan tersebut untuk mengharungi saingan liga musim depan.

Terdesak dengan situasi tersebut, KAFA segera memburu beberapa pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan ketika mereka kini dalam persiapan untuk mempertahankan ketiga-tiga kejuaraan yang dimenangi termasuk memberi cabaran baharu pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.

Nama penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali yang kini sedang beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada kejohanan Piala Suzuki AFF juga dikatakan turut berada dalam senarai paling atas untuk dibawa masuk bagi memantapkan pasukan. 

Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan diberikan oleh pihak KAFA yang sebelum ini turut dikaitkan memburu dua penyerang berbisa Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Khyrill Muhymeen, namun khabar tersebut seperti tidak menjadi kenyataan. 

Bagaimanapun, peminat The Red Warriors mampu menghela nafas lega apabila KAFA hampir pasti menandatangani seorang pemain import baharu dari Australia yang merupakan penyerang muda sebuah kelab yang pernah beraksi pada Liga Juara-Juara Asia dan memenangi Liga Australia sebelum ini bagi menggantikan kelibat Muhammad Ghaddar. 

Sumber KAFA memberitahu, pemain tersebut dilahirkan pada 10 November 1992 dan baru berusia 20 tahun dan memiliki kebolehan beraksi pada posisi serangan selain mampu bertindak sebagai pemain tengah.

“Dimitrios (Dimi) Pertratos merupakan pemain muda daripada kelab Sydney FC yang berpangkalan di New South Wales, Australia. Beliau juga merupakan penyerang pasukan bawah 23 tahun Australia dan antara lima pemain muda yang berjaya menempatkan diri dalam skuad senior kelab tersebut.
“Bagaimanapun, kita akan mendapatkan khidmat beliau secara pinjaman untuk tempoh enam bulan sebelum perbincangan lanjut mengenai kontraknya berdasarkan prestasi yang akan dipamerkan nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, sebuah portal sukan, Australian FourFour Two dalam entrinya pada 23 November lalu menyiarkan artikel mengenai juara trebel dari Malaysia, Kelantan berminat untuk mendapatkan pemain muda tersebut.

Artikel berkenaan juga menyebut, ejen Petratos, James Hardy begitu berminat dengan tawaran yang dikemukakan oleh The Red Warriors itu.

Monday, December 3, 2012

TRW sambar Pertratos, intai Safee

Wartawan Sinar Harian
3 Disember 2012 

 Pertratos bakal menyarung jersi pasukan The Red Warriors secara pinjaman untuk tempoh enam bulan bagi Liga Malaysia 2013.
PEMAIN skuad bawah 23 tahun Australia, Dimitrios Pertratos dan penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali antara yang disebut-sebut bakal disunting oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi memperkuatkan pasukan Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Sumber Kafa memberitahu, penyerang Pelita Jaya FC yang sedang beraksi bersama skuad kebangsaan dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 dikatakan berada dalam perhatian meskipun tiada pengesahan rasmi diberikan oleh pihak terbabit setakat ini.

Menurut sumber itu lagi, Pertratos pula hampir pasti menjadi pilihan Kafa bagi menyarung jersi The Red Warriors secara pinjaman untuk tempoh enam bulan setelah kontrak Mohammad Ghaddar tidak disambung pada musim depan.

“Dimitrios Pertratos merupakan pemain Sydney FC yang berpengkalan di New South Wales, Australia. Dia masih muda (20 tahun), mempunyai ketinggian 1.76 meter dan boleh beraksi di posisi serangan dan pemain tengah menyerang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Kita dapatkan khidmat beliau atas dasar pinjaman bagi tempoh tersebut. Keputusan mengikat Pertratos dilakukan sebagai usaha memperkuatkan pasukan Kelantan bagi mempertahankan ketiga-tiga piala dimenangi selain menghadapi Kejohanan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bermula Mac nanti.

Sebuah portal sukan, Australian FourFour Two pada 23 November lalu melaporkan juara treble dari Malaysia, Kelantan dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Pertratos terutamanya bagi mengharungi saingan baharu kempen Piala AFC nanti.

Malah, ejen Pertratos, James Hardy dalam artikel tersebut menyifatkan tawaran dikemukakan Kelantan sangat menarik dan memberi peluang kepada pemain muda itu mengembangkan kerjayanya setelah jarang diberi peluang beraksi bersama kelabnya sebelum ini.

Ini diperkukuhkan lagi apabila Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang dipetik daripada laman sosialnya semalam memberitahu, Kelantan sah akan mengikat kontrak dengan seorang pemain yang beraksi dengan sebuah kelab dalam Liga Juara-Juara Asia.

“Dia akan menggantikan Mohammad Ghaddar. Kita terpaksa melupakan Ghaddar yang menuntut kenaikan gaji 100 peratus. Saya tak mampu, lagi pun prestasinya juga tak konsisten,” katanya.

Annuar juga memberitahu, pihak Kafa akan mengadakan satu majlis memperkenalkan pemain baru mereka iaitu Zairo Annuar Zailani, Mohd Faiz Subri dan seorang lagi pemain tempatan di Kota Bharu, hari ini.

Selain Pertratos, Kafa juga difahamkan turut memperkenalkan bekas penyerang T-Team dan Johor FC, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal dan seorang lagi pemain import dari Croatia pada majlis tersebut.

--- SINAR HARIAN

Kafa: Safee-Andik ada peluang sertai Kelantan


3 Disember 2012
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)
 
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) membariskan lima muka baru termasuk dua pemain import untuk saingan Liga Malaysia serta kejohanan Piala Konfederasi Asia musim depan.
  
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain tersebut ialah bekas kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani dan rakan sepasukannya, Faiz Subri serta pemain Johor FC, Haris Safuan.
  
Sementara pemain import terdiri daripada pemain Sydney FC, Dmitrios Petratos, 23, yang bermain di Liga Australia (A League) serta Lek Kcira, 29, dari Croatia dan pernah bermain bersama kelab liga utama di Iran dan Croatia sebagai pemain pertahanan.
  
Dmitrios Petratos juga pernah bermain bersama skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun Australia dan bertindak sebagai penyerang, selain mewakili skuad Bawah 20 pada kejohanan Piala Dunia di Columbia.
  
"Ketua jurulatih (Bojan Hodak) akan menguji kemampuan sebenar Dmitiros sebelum meletakkan beliau untuk bermain di Liga Malaysia ataupun AFC.
 
"Lek Kcira pula akan didaftarkan di bawah kumpulan pemain dalam kejohanan AFC dan akan bertindak sebagai pemain pertahanan yang akan bergandingan dengan Obinna Nwaneri," katanya kepada pemberita pada sesi pengenalan pemain baru The Red Warriors hari ini.
  
Annuar berharap penyertaan kelima-lima pemain tersebut dapat menyemarakkan lagi prestasi The Red Warriors musim depan bagi mempertahan kejayaan treble iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.
  
Bagaimanapun persoalan sama ada penyerang prolifik negara Safee Sali yang uar-uarkan bakal menyarung jersi Kelantan masih menjadi tanda tanya.
  
"Boleh jadi Safee, mungkin juga Andik Vermansyah (Indonesia). Masing-masing ada peluang untuk bermain dengan Kelantan dan tunggu sahaja pengumuman rasmi pada 3 Januari depan," kata Annuar.
  
Sementara itu beliau berkata, Kevin Ramalingan bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TheRedWarriors.com Sdn Bhd bagi menguruskan soal penajaan barangan The Red Warriors.
 
"Syarikat milik Kafa tersebut akan menyusun kembali penajaan dan antara berita gembira yang dapat saya khabarkan adalah Kelantan mendapat tajaan sekali ganda lebih musim hadapan berbanding 2012.
  
"Selain itu, Kelantan turut menerima undangan untuk bermain di Kejohanan Empat Negara dari 15 hingga 23 Disember ini di Indonesia sebagai persediaan pasukan untuk pramusim Liga Malaysia 2013," kata Annuar. - Bernama

--- SINAR HARIAN